NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kematian di rumah pengasuh: Muslimat PAS syor penubuhan Taska di Tempat Kerja






1. Dewan Muslimat PAS Malaysia merasa dukacita dan simpati terhadap kes yang baru berlaku ke atas seorang bayi lelaki, Adam Rayqal, dipercayai mati di rumah pengasuhnya.

2. Sehingga ke hari ini, telah tular pelbagai kes yang melibatkan pusat jagaan atau pengasuh bayi dan kanak-kanak yang amat membimbangkan para ibu bapa untuk meninggalkan anak mereka sepanjang keberadaan mereka di tempat kerja.

3. Bagi mengatasi masalah ini, Muslimat PAS menggesa pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Jabatan Kebajikan Masyarakat) mengambil tindakan proaktif sesuai dengan keadaan dan kehendak semasa.

4. Antara syor daripada kami Muslimat PAS ialah;
i. Pembukaan Taska/Nursery di Tempat Kerja
Projek ini bertujuan memudahkan para ibu bapa menghantar, memantau serta mengambil semula anak mereka.

Selain memudahkan urusan ibu bapa, projek ini boleh menambahkan peluang pekerjaan buat wanita yang sedang menganggur.

Namun, latihan dan kemahiran wajib diberikan kepada pengasuh sebelum boleh menjadi pengasuh dan penjaga.

ii. Perketatkan Akta Pembukaan Taska
Walaupun telah ada undang-undang berkaitan pembukaan dan penubuhan taska daripada pihak kementerian, ianya perlu diperketatkan dan selalu dikawal selia oleh pihak berwajib.

Setiap daerah mesti diletakkan satu wakil yang akan menjaga dan memantau taska yang didaftar di dalam daerahnya.

iii. Penyediaan Latihan dan Kawal Selia Pengasuh Berdaftar
Selain mewajibkan pendaftaran pengasuh, maklumat berkaitan mereka mestilah boleh dicari dalam satu sistem database pengasuh yang mengandungi maklumat peribadi, termasuk rekod kesihatan (terutama mental health screening), pendidikan, sijil yang selayaknya.

Pengasuh yang berdaftar wajib mengikuti latihan yang disediakan serta akan dipantau secara berkala bagi memastikan kualiti penjagaan terjamin.

5. Kami Muslimat PAS dengan tegas mengambil berat isu ini demi menjaga hak dan keselamatan anak-anak terutama bayi yang masih kecil.

6. Hal ini diharap tidak berlaku lagi dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan yang sewajarnya agar kesedaran timbul bagi para pengasuh untuk sentiasa berjaga-jaga serta amanah dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

ROSNI ADAM
Timbalan Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 Julai 2018 bersamaan 20 Syawal 1439

Sumber: https://berita.pas.org.my/penubuhan-taska-di-tempat-kerja/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo