NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Tahfiz: Kenyataan PERTAMA Terhadap Pandangan Zainuddin Maidin



Assalamualaikum wbt.

Saya terpanggil untuk menulis berkenaan tulisan Tan Sri Zainuddin Maidin berkaitan gesaaan beliau untuk menutup sekolah tahfiz. 
Mari kita lihat hujah beliau mengapa beliau mahu sekolah ini ditutup. 

Berikut saya petik dari Blog Tan Sri: 

1. Seorang rakan peguam saya di Pulau Pinang mempunyai kes aduan seorang ustaz telah menukarkan tanah yang diwakafkan kepadanya tanpa surat perjanjian untuk membuka sekolah tahfiz telah menukarkan tanah itu menjadi miliknya. Kes belum selesai dan banyak lagi kes penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa mengambil kesempatan dari sentimen agama. 

2. Murid-murid sekolah tahfiz dieksploitasi oleh ustaz-ustaz mereka untuk menjual buku-buku agama dan mengutip derma dari orang ramai. Banyak menunggu di hadapan bank-bank atau mengutipnya di kedai-kedai mamak dan juga dari rumah ke rumah. Suatu cara yang dijalankan oleh Al-Arqam yang telah diharamkan suatu masa dahulu. 

3. Ibu bapa yang telah berjaya dalam hidup termasuk dari kalangan profesional menghantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz dengan kepercayaan mempunyai anak huffaz akan membantu membasuh dosa mereka dan jika mati, mayat tidak akan hancur. (Mayat Stalin dan juga Mao Zedong tidak hancur di simpan di mousoleum di Moscow dan Beijing). Mayat sami Buddha yang terkenal juga disimpan di Thailand dan dikeluarkan sesekali untuk tontonan ramai. Apa perlunya mayat tidak hancur? 

4. Banyak tragedi telah berlaku di sekolah-sekolah agama bukan kerajaan. Selain dari kebakaran dan kemalangan juga penderaan, hukuman dan tekanan dalam pembelajaran kerana ustaz-ustaz tidak mempunyai latihan pendidikan yang sempurna dan profesional. Anak-anak yang masih muda membuang masa di sekolah-sekolah ini yang tidak mempunyai kokurikulum dan sistem pendidikan akademik yang moden. 

5. Perkembangan sekolah-sekolah tahfiz berlaku setelah ustaz-ustaz yang tidak mempunyai nilai ekonomi menyedari inilah satu cara yang mudah untuk mendapatkan sedekah atau memperdagangkan agama. (Ini juga akan diwarisi oleh murid-murid mereka yang juga nanti tidak mempunyai nilai komersial) 

6. Pejabat-pejabat agama negeri tidak berani bertindak kerana senstiviti agama dan menghormati orang-orang yang berjubah dan berkopiah putih. 


Ulasan saya, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan penutupan sekolah tahfiz atas dasar kelemahan yang dilihatnya. Baik kita guna pendekatan ini. Kita tutup semua institusi pelajaran yang telah menghasilkan pelajar atau rakyat yang bermasalah. 

Sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2005 hingga 2015. Mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh yang sama, ada 526 kes pembuangan bayi. 


Ini bermakna sistem pembelajaran dari tahun 1980 hingga tahun 2000 telah gagal melahirkan rakyat yang boleh berfikir dengan matang, dan telah melakukan perkara yang memalukan Islam. 

Ini kerana kebanyakan kes adalah dari kalangan umat Islam. Adalah kita boleh guna logik Tan Sri Zainuddin Maidin, yang berkata kerana ada kepincangan dalam sistem pengajian hafazan Al Quran, maka sekolah ini perlu ditutup. 

Jika ini logiknya, maka logik yang sama digunakan untuk kita menutup sekolah kebangsaan. Tidakkah malu kita Negara orang Islam, yang Islam adalah agama Persekutuan, tapi kita ada setengah juta anak luar nikah dalam tempoh 10 tahun? 

Contoh ini cukup untuk memberi gambaran bahawa sistem yang sedia ada bukanlah sebaik penghasilannya. 

Banyak lagi gejala sosial, termasuk budaya rasuah, politik wang dan cara hidup yang lebih rapat kepada maksiat yang boleh dijadikan contoh kelemahan kita dalam membina satu bangsa yang produktif dan bermaruah dan nilai sosial yang tinggi. 

Kelemahan Pengurusan Sistem Sekolah Tahfiz. 

Mari kita banding institusi sekolah tahfiz Malaysia dengan dua contoh berikut: 

a) Sekolah vernakular Cina 

b) Perkembangan sekolah Tahfiz dan agama di Indonesia, India, Pakistan, hatta Singapura. 

Jika kita kaji, bangsa Cina dengan bangga dan komitednya telah membina sistem pembelajaran untuk anak bangsa mereka yang diasaskan pada tradisi ilmu mereka dari sebelum merdeka sehingga hari ini. Mereka terus-menerus tidak mahu bergabung dengan sistem nasional, yang mereka anggap kurang baik untuk anak-anak mereka. Realitinya adalah bangsa Cina telah bersusah-payah, berkorban masa, tenaga dan harta benda demi pelajaran anak bangsa mereka. Orang kaya mereka telah memberi sumbangan yang banyak kepada sekolah-sekolah ini, daripada berbelanja untuk kuda, kereta dan kediaman mewah. Akibatnya mereka telah berjaya menghasilkan satu sistem yang kukuh serta mengambil kira tradisi ilmu dan keperluan zaman. Mereka tidak buang tradisi. Jika dana tidak mencukupi, mereka menganjurkan majlis makan malam, di mana bangsa mereka saling membantu.Tak perlu adakan usaha kutip derma ciput di stesen minyak dan di kedai makan. 

Di India, saya lihat sendiri bagaimana rakyat India, menginfak tanah dan wang ringgit untuk menampung pembanggunan Institusi Tahfiz dan sekolah agama. Sheikh Abu Bakar di Kerala, telah berjaya mendidik 28,000 murid di Institusi beliau. Di sana ada pelbagai jurusan pengajian, dari kedoktoran hingga ke kulinari. Asas untuk semua murid adalah pengajian agama termasuk Al Quran.

Keadaan yang sama juga saya lihat di Indonesia, di mana sistem pesantren mereka begitu pesat dan teratur sehingga tahap universiti. Ada pula universiti yang memastikan mahasiswa tahun satu semua tinggal dan mengaji setahun di pesantren untuk membina jati diri mukmin sebelum mula pengajian fardu kifayah. Institusi-institusi di negara tersebut berjaya berkembang kerana mereka dibenarkan menerima zakat dan wakaf dari orang Islam. Hasil dari sistem ini, lahir profesional yang jatidirinya mukmin, sentiasa takut pada Allah swt. 

Sistem pembelajaran yang digunakan di Malaysia, perlu dilihat semula dan diukur keberkesanannya dan dibanding dengan sistem-sistem terbaik di dunia. Finland dan Jepun, yang mengunakan pendekatan syumul dalam pembinaan jati diri murid dari sekolah rendah, perlu diambil sebagai contoh. Ketaksuban pada sistem kebangsaan yang sedia ada, bukan satu pendekatan yang bijak. Manusia hari ini, bukan lagi hanya bercakap tentang horizontal logik, tetapi vertical and circular logik. Mereka bercakap tentang IQ, EQ dan SP. 

Untuk pengetahuan Tan Sri, sekarang sudah ada bukti yang zikir mampu meningkatkan lagi ketajaman otak tengah. Telah wujud banyak tulisan akademik tentang keberhasilan dan kebaikan menghafal Al Quran dan amalan-amalan zikir dalam membina serta menjernihkan pemikiran dan menerangkan hati (Orang tua kita selalu minta anak-anak mereka terang hati, Tan Sri) 

Untuk mengatakan yang hanya sistem pembelajaran kebangsaan saja yang baik untuk membina satu ketamadunan, adalah satu pembohongan dan jumud dalam pemikiran. Perkembangan Institusi Tahfiz adalah jauh berbeza dari zaman sebelum tahun 2003. Sekarang, biarlah kita baca laporan dari PERMATA. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan terhadap institusi umat ini. 

Pihak PERMATA umpamanya telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan kerajaan dan swasta untuk memperkasakan institusi Tahfiz: 

1. Membantu menggubal DASAR PENDIDIKAN TAHFIZ NEGARA pada tahun 2016 yang akan menggangkat pendidikan Tahfiz sebagai pendidikan arus perdana (mainstream) negara. 

2. Membantu kewujudan MAAHAD TAHFIZ SAINS yang telah melahirkan ramai graduan huffaz professional seperti doktor, jurutera dan lain-lain. 

3. Mewujudan TAHFIZ TVET secara kerjasama dgn Kolej Komuniti, Giat Mara dan politeknik yang dapat melahirkan huffaz berkemahiran. 

4. Persatuan juga bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mewujudkan NOSS (National Occupational Skill Standard) meliputi Pengurusan Tahfiz, Pengajaran Tahfiz dan Pengurusan Masjid. Ini akan melahirkan Huffaz yang berketrampilan dan bernilai tambah (value added). 

5. Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan oleh maahad-maahad tahfiz dalam sistem pendidikannya merangkumi pembangunan kurikulum, latihan perguruan, sistem pengurusan, infrastruktur. Hari ini banyak institusi pendidikan arus perdana berintegrasi dengan sistem hafazan Al Quran sehingga melahirnya Sekolah Imtiaz, MRSM ULUL ALBAB , Sekolah Tahfiz Integrasi Sains & Teknologi dan wujud pula kerjasama langsung dengan institusi vokasional sehingga lahir lebih ramai pelajar cemerlang dalam gabungan dua aliran iaitu sains teknologi dan hufaz. 

Malaysia Baru sepatutnya melihat dan mengkaji keseluruhan sistem pembelajaran secara objektif dan berasas pada fakta. Kita tidak boleh lagi ada satu sistem yang tidak dapat membendung penambahan penagih dadah dan anak luar nikah. Masalah ini jauh lebih serius dari para ustaz yang hanya pandai jadi imam. Kita perlu melihat keperluan insan dari sudut intelektual, emosi dan rohani, untuk menghasilkan satu masyarakat bermoral dan bernilai sosial dan ekonomi yang tinggi. Kebaikan yang ada dalam sistem pembelajaran kebangsaan, juga ada dalam sistem sekolah tahfiz, juga ada dalam sistem sekolah vernakular, malah ada juga dalam sistem vokasional. Jika kita benar mahu sesuatu yang baru, sewajarnya satu usaha yang padu, tanpa menafikan ilmu dan kepakaran mana-mana golongan diambil. Sheikh Abd Kareem B Said Khadaied PERTAMA 10/7/2018

Sumber: https://www.menara.my/isu-tahfiz-kenyataan-pertama-terhadap-pandangan-zainuddin-maidin/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo