NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: Tabung Darul Iman Ditambah Baik


Kerajaan Negeri akan meneruskan dan menambah baik Tabung Darul Iman yang diwujudkan kerajaan sebelum ini demi dalam menjaga kebajikan rakyat negeri Terengganu yang memerlukan bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, selepas 35 hari mengambil alih tampuk pemerintahan dari kerajaan terdahulu, pihaknya sudah membelanjakan hampir RM1 juta menerusi tabung berkenaan.

Katanya, penambahbaikan yang dilakukan adalah setiap permohonan tidak perlu lagi mendapatkan tandatangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan tidak perlu dihantar kepada ADUN masing-masing.

"Dulu pemohon perlu ke sana sini untuk mendapatkan pengesahan dari JKKK dan ianya amat merumitkan dan saya juga sudah keluarkan arahan supaya pengurus Tabung Darul Iman sendiri membuat penilaian untuk kelulusan setiap permohonan dan tidak perlu lagi melalui proses sedia ada.


"Tempoh kelulusan permohanan yang dahulunya memakan masa sekitar tiga bulan hingga ke empat bulan kini akan menjadi lebih singkat antara sebulan atau dua bulan," katanya

Beliau ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kemaman yang diadakan di tapak letak kereta bersebelahan Pejabat Daerah Kemaman, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga ADUN Cukai berkata, penambahbaikan juga dilakukan terhadap permohonan untuk mendapatkan rumah baharu bagi mangsa yang terlibat dengan bencana seperti kebakaran.

Menurutnya, pihaknya akan mempercepatkan permohonan untuk proses pembinaan rumah baru kepada yang terjejas akibat bencana dengan pemohon tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kelulusan pembinaan sepertimana sebelum ini.

"Biasanya bagi kes kebakaran mangsa terpaksa menunggu sehingga antara lapan hingga 10 bulan untuk mendapatkan rumah baharu tetapi dengan kaedah baharu selepas perjumpaan saya dengan Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya telah membuat keputusan agar rumah mesti disiapkan segera dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan agar mangsa kebakaran tidak terseksa menunggu rumah baharu mereka," katanya.

Menurutnya lagi, pembinaan tiga buah rumah baharu di Kampung Losong, Kuala Terengganu kepada mangsa kebakaran adalah projek perintis yang menggunapakai kaedah baharu berkenaan dan ianya akan diperluaskan di seluruh daerah di negeri ini.

"Kelulusan permohonaan di bawah Tabung Darul Iman tidak mengambil kira fahaman politik dan mana-mana rakyat negeri ini yang berkelayakan boleh memohon dan sumber kewangan untuk membiayai Tabung Darul Iman diperoleh daripada sumbangan anak syarikat kerajaan negeri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan derma yang dihulurkan orang ramai," katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini tidak ramai rakyat di bahagian selatan Terengganu iaitu dari Paka hingga ke Kemaman yang memohon tabung tersebut.

Tambah beliau lagi, mungkin ada yang tidak tahu kewujudan tabung ini dan diharap selepas ini bantuan ini ditersebar keeluruh Terengganu.

Katanya, mulai bulan depan, borang Tabung Darul Iman boleh diperoleh di Pejabat DUN masing-masing.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo