NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlis : Krisis MB dirujuk ke mahkamah




Semua sembilan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Perlis akan membantah pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar melalui proses undang-undang.

Menurut sumber, tanpa sokongan sembilan ADUN terbabit Azlan sebenarnya tidak mendapat sokongan majoriti di negeri itu dan bercanggah dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

"Fasal 39 (2) (a) menyatakan bahawa raja hendaklah melantik seorang yang ada pada fikirannya mendapat kepercayaan ramai ahli DUN untuk menjadi menteri besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.

"Dan mengikut Fasal 39 (6) menteri besar harus meletak jawatan jika tiada sokongan, dan itulah yang terjadi pada Azlan apabila beliau tak dapat sokongan majoriti.

"Jadi sekarang ini proses undang-undang sedang berjalan," menurut sumber itu.

Beliau juga menafikan langkah diambil BN Perlis boleh dianggap menghina keputusan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamallulail yang melantik Azlan sebelum ini.

Sebaliknya kata sumber itu langkah tersebut diambil sebagai tanda mereka membantah kedudukan Azlan.

"BN Perlis cuma membantah kedudukan Azlan menjadi menteri besar tapi bukan raja, mereka masih taat setia pada raja," katanya.

Azlan dilantik menjadi menteri besar pada 24 Mei lalu namun majlis mengangkat sumpah di depan Raja Perlis dipulaukan sembilan wakil BN.


Diketuai Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mereka turut mengadakan sidang media pada hari yang sama di PWTC dan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut supaya Azlan dipecat dari Umno.

DUN Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan 10 daripadanya dimenangi BN. Azlan ialah penyandang jawatan menteri besar dan selepas memenangi kerusi Bintong Tuanku Syed Sirajuddin berkenan melantiknya semula ke jawatan berkenaan.

Jumaat lalu, semua sembilan ADUN BN Perlis yang memulaukan pelantikan Azlan sebagai menteri besar memohon ampun kepada Raja Perlis namun menegaskan tetap menolak Azlan sebagai menteri besar negeri itu.


Permohonan ampun itu diketuai oleh Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin yag berkata pihaknya kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengadap Tuanku Syed Sirajuddin.

Sehingga kini Perlis merupakan satu-satunya negeri yang masih belum menamakan barisan exco selepas BN memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Berdasarkan kelaziman, Raja Perlis perlu melantik ADUN yang mendapat keyakinan majoriti sebagai menteri besar.

Sebelum ini semua ADUN berkenaan membantah pelantikan Azlan dan membuat laporan polis kerana menganggap pelantikan berkenaan bertentangan perlembagaan persekutuan dan undang-undang negeri.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo