NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mapim sokong Peguam Negara Melayu, Islam


SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyokong sekiranya peguam negara dilantik dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ini kerana kedudukan Peguam Negara sangat penting dalam melihat perkembangan undang-undang sivil dan syariah di negara ini.

"Malah Yang di-Pertuan Agong sendiri telah memberi kenyataan baginda mahu peguam negara menasihati baginda mengenai hal berkaitan urusan undang-undang syariah. Mana mungkin Peguam Negara yang bukan Islam mempunyai kredibiliti untuk menasihati Agong mengenai hal tersebut.
"Sementara Agong perlu bertindak sesuai dengan nasihat kerajaan, baginda mempunyai hak untuk mempersoal nasihat kerajaan, mengambil kira konteks negara, tugas dan tanggungjawab yang pelbagai serta hal-hal yang mungkin tidak dapat dikendalikan oleh Peguam Negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, jika soal kepakaran dan intergriti diutamakan, terdapat ramai ahli undang-undang Melayu-Islam memiliki ciri itu.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan Peguam Negara menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

"Mengendalikan bidang undang-undang negara dengan penguasaan bahasa kebangsaan yang lemah tidak layak diangkat sebagai Peguam Negara.

"Setakat yang kami tahu, Tommy Thomas tidak mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang baik. Jadi kelayakan beliau untuk jawatan Peguam Negara tidak mencukupi," katanya.

Menurut Mohd Azmi, kerajaan tidak perlu melantik Tommy sebagai Peguam Negara jika mahu melaksanakan pendakwaan dalam isu 1MDB dan kes-kes berprofil tinggi.

"Ini kerana ia boleh dilakukan oleh peguam cara atau Tommy boleh dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan pendakwaan bagi pihak kerajaan," katanya.

Beliau turut mencadangkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kembali mengisi jawatan itu bagi menghentikan polemik yang timbul.

Terdahulu, memetik laporan portal, surat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menulis kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memohon perkenan agar Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan peguam kanan yang juga pakar perlembagaan, Tommy Thomas masih belum mendapat maklum balas dari pihak istana.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo