NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi Sebelum Susut Kemudiannya



KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini namun susut kemudiannya di tengah-tengah perkembangan prestasi pasaran serantau yang bercampur-campur akibat ketidaktentuan disebabkan oleh perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang berlanjutan.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.18 mata kepada 1,706.57 daripada paras 1,709.75 sewaktu ditutup pada Rabu.

Indeks penanda aras itu dibuka dengan menokok 0.69 mata kepada 1,710.44 pada 9 pagi ini.

Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 120 berbanding 81 manakala 129 kaunter tidak berubah, 1,588 tidak diniagakan manakala 35 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 79.83 juta unit bernilai RM44.30 juta.

Ketua Dagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata pasaran dalam keadaan tidak menentu berikutan impak perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Perkembangan itu bagaimanapun mewujudkan aliran lain dengan menyaksikan kaunter tertentu melonjak iaitu FAANG (Facebook, Apple Amazon, Netflix dan Google) yang terus menguasai pasaran secara konsisten,” katanya.

Mengulangi pandangan Innes, Maybank Investment Bank Bhd. (Maybank IB) pula berkata di peringkat tempatan, saham teknologi akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan dialami Nasdaq yang ditutup lebih kukuh semalaman.

“Secara teknikalnya, kami menjangkakan FBM KLCI didagangkan antara 1,680 dan 1,730 mata hari ini, manakala penurunan sekitar tahap 1,709 dan 1,680,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Di peringkat serantau, pasaran Nikkei Jepun susut 0.04 peratus kepada 22,547.42 manakala Hang Seng Hong Kong naik 0.23 peratus kepada 29,764.05 dan Straits Times Singapura meningkat 0.09 peratus kepada 3,318.92.

Saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Tenaga masing-masing susut dua sen kepada RM9.22 dan RM14.24, Petronas Chemicals rugi empat sen kepada RM8.35,manakala Public Bank menambah empat sen kepada RM22.82 dan CIMB sebaliknya tidak berubah pada RM5.87.

Bagi saham aktif, Hubline turun satu sen kepada tujuh sen, Dagang Nexchange meningkat 1.5 sen kepada 42.5 sen dan warannya pula naik satu sen kepada 15 sen, MyEG menokok tiga sen kepada RM1.03 manakala K-Star untung setengah sen kepada 10.5 sen.

Nestle muncul kaunter paling rugi setakat ini apabila susut RM1.40 kepada RM144.80, Petronas Dagangan turun 36 sen kepada RM24.50 dan Telekom dan BAT masing-masing merosot 24 sen kepada RM3.39 dan RM36.42. KLK turun 20 sen kepada RM23.34.

Indeks FBM Emas susut 5.38 mata kepada 12,081.11, Indeks FBMT100 merosot 8.86 mata kepada 11,860.15, Indeks FBM Emas Shariah kehilangan 24.53 mata kepada 12,159.43 dan Indeks FBM Ace turun 3.51 mata kepada 5,263.44.

FBM70 meningkat 38.29 mata kepada 14,744.70.
Mengikut sektor, Indeks Perusahaan merosot 16.18 mata kepada 3,130.20, Indeks Perladangan berkurangan 2.84 mata kepada 7,569.81 manakala Indeks Kewangan sebaliknya menokok 0.90 mata kepada 16,937.40. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo