NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Berapa lama PH nak bergantung pada kebencian terhadap Najib?


oleh: Timmy Say | Jun 24, 18 9:00am

Takkan untuk tempoh 5 tahun akan datang negara hanya berkisarkan Najib semata-mata?

Sudah 45 hari menjadi kerajaan, sehingga kini Pakatan Harapan masih gagal untuk membentuk barisan Kabinet yang penuh.

Selain pemansuhan GST, janji-janji lain di dalam manifesto 100 hari nampaknya tidak akan kesampaian. PH bijak membina naratif bahawa ia kerana hutang negara yang sarat yang ditinggalkan Barisan Nasional. Hakikat yang lebih dipercayai ialah PH terlebih berjanji tanpa melihat kemampuan negara menjana pendapatan tanpa GST.

Pasaran saham dan nilai ringgit juga jatuh mendadak sejak PH mengambilalih kuasa.

Pelabur luar mengeluarkan duit daripada Malaysia serta-merta, kebetulan selepas perdana menteri dan menteri kewangan berkata hutang negara mencecah RM1 trillion.

Kejatuhan bursa saham menyebabkan KWSP kerugian pelaburan sebanyak RM6 bilion, menurut The Edge, tanpa sebarang ulasan daripada perdana menteri mahupun menteri kewangan. Nasib baik KWSP tidak ikut serta menjual saham-sahamnya. Kalau tidak, apakah yang akan terjadi pada bursa saham Malaysia?

Namun begitu, semua ini tidak mengugat persepsi baik rakyat terhadap PH. Ini kerana PH masih boleh berbulan madu menggunakan kebencian rakyat terhadap Datuk Seri Najib Razak dan juga skandal-skandalnya terdahulu.

Rakyat tidak marah mahupun tersinggung. Derma kepada Tabung Harapan semakin meningkat sehinggakan budak sekolah yang menderma kepada Tabung Harapan dieksploit menjadi berita utama bahawa budak sekolah pun cuba mengurangkan hutang negara manakala Najib menambah hutang negara.

Skandal yang paling menarik perhatian rakyat ialah 1MDB. Pelbagai pengumuman dibuat memberikan persepsi bahawa kes ini sudah hampir selesai siasatannya seolah-olah Najib pasti tidak akan terlepas.

Selain 1MDB, skandal Scorpene, misteri kematian Teoh Beng Hock dan Altantuya Shaariibuu di zaman Najib turut membantu mengalihkan pandangan rakyat daripada perkara-perkara negatif dalam PH.

Bukan itu sahaja, wawancara Najib bersama Reuter ketika bercuti di Langkawi turut membantu meningkatkan imej PH dan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa keputusan membuang Umno dan BN adalah tepat.

Bayangkan Najib yang boleh merintih mengenai kehilangan kasut cucunya boleh menyatakan tidak mengetahui wang berbilion dolar dalam akaun peribadinya. Mungkin pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh bantu menjawab siapa penderma yang pernah dijumpainya.

Cuma, berapa lama PH akan bergantung kepada kebencian rakyat terhadap Najib? Takkan untuk tempoh 5 tahun akan datang negara hanya berkisarkan Najib semata-mata?

Kalaulah Najib disabitkan bersalah pun apakah pasaran saham akan pulih? Apakah harga barangan boleh turun? Apakah harga minyak akan turun? Apakah tol boleh mansuh bermula dengan jambatan Pulau Pinang? Apakah bonus raya akan kembali pulih? Apakah KWSP mampu memberikan dividen yang lebih baik?

Semua persoalan ini perlu dipantau dan dijawab oleh PH. Meanwhile, enjoy Najib’s stay while it lasts.

*Artikel ini adalah pandangan penulis

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo