NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akta pengubahan wang haram:Najib mungkin didakwa?


BANGI, 1 Syawal 1439H, Jumaat – Pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mempertimbangkan untuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan dana, lapor Reuters.

Sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu agensi berita berkenaan, Najib mungkin didakwa mengikut Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan penyalahgunaan harta.

Beliau berdepan penjara maksimum lima tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan di atas pertuduhan itu. Bagaimanapun, undang-undang tidak membenarkan pesalah berusia 50 tahun ke atas disebat. Najib kini berusia 64 tahun.

Manakala, denda pula akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan kepada kesalahan dan jumlah wang yang diseleweng.

Reuters memetik sumber itu sebagai berkata, bekas Presiden UMNO itu juga berdepan tuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah wang itu.

Najib, yang menubuhkan 1MDB pada 2009 sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram selepas laporan bahawa berbilion-bilion ringgit dimasukkan ke dalam akaun peribadinya yang dipercayai sebahagian dana daripada anak syarikat 1MDB, SRC International.

Beliau bagaimanapun, menafikan sebarang salah laku berhubung 1MDB.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib kalah, menyaksikan peralihan kuasa kepada Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Selasa lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pihaknya sedang menyemak kemungkinan mengenakan tuduhan jenayah dan sivil, selepas menerima kertas siasatan mengenai 1MDB daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

1MDB disiasat di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura berkaitan kes pengubahan wang haram.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) mendakwa lebih AS$4.5 bilion wang 1MDB disalahguna, di mana kira-kira AS$700 juta berakhir di dalam akaun peribadi Najib.

Isnin lalu, Polis Diraja Malaysia menyerbu sebuah rumah yang ada kaitan dengan Najib di Putrajaya – kediaman terbaharu diperiksa yang dipercayai ada hubung kait dengan siasatan ke atas 1MDB. – Reuters



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo