NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pilihan Raya Umum dan kaji selidik bebas



Malaysia boleh dianggap ketinggalan kerana tidak ada agensi berkaitan yang menjalankan kaji selidik secara konsisten untuk mengetahui populariti kerajaan memerintah. Akibat tidak wujud firma yang menjalankan kaji selidik secara berkala ini, parti pemerintah seperti Barisan Nasional (BN) gagal mengesan perubahan sokongan rakyat untuk membolehkan mereka menyusun strategi menghadapi PRU-14

Oleh Norhafzan Jaafar
hafzan@bh.com.my


KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang disifatkan di luar jangka apabila pertama kali dalam sejarah negara menyaksikan kejatuhan parti yang memerintah lebih enam dekad, membuktikan bahawa demokrasi penuh masih wujud di Malaysia.

Paling membanggakan apabila semua pihak menghormati dan menerima suara rakyat itu tanpa ada sebarang tunjuk perasaan mahupun pertumpahan darah seperti yang pernah kita saksikan dalam kebanyakan peralihan kuasa kerajaan di negara luar.

Biarpun kejatuhan dan peralihan sesebuah kerajaan sesuatu yang tidak mustahil dan sering dilihat di luar negara, namun apa yang berlaku di negara kita disifatkan sesuatu yang tidak pernah dijangka.

Malah pemerhati politik berpendapat, tiadanya kaji selidik secara berkala menjadikan sukar untuk meramalkan kecenderungan rakyat dalam menunjukkan sokongan mereka terhadap mana-mana parti menjelang pilihan raya di negara ini.

Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Mohammed Rahezzal Shah Abdul Karim berpendapat, Malaysia boleh dianggap ketinggalan kerana tidak ada agensi berkaitan yang menjalankan kaji selidik secara konsisten untuk mengetahui populariti kerajaan memerintah.

Kaji selidik bukan saja perlu untuk mengetahui sokongan rakyat kepada parti atau kerajaan pemerintah tetapi juga penerimaan mereka terhadap dasar yang diperkenalkan kerajaan.

Dalam pilihan raya presiden di Amerika Syarikat misalnya, ramalan awal dan persaingan sengit antara parti yang bertanding dapat dilihat berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh badan bebas hampir setiap hari.



Jangkaan awal

"Sebab itu, mereka tidak terkejut selepas keputusan diumumkan kerana pelbagai pihak sudah dapat menjangka lebih awal kemenangan berdasarkan kaji selidik yang dijalankan.

"Berbeza sekali keadaan di negara kita apabila keputusan sukar untuk dibaca kerana sentimen rakyat tidak dapat diramalkan lebih awal," katanya dalam seminar mengenai Pasca PRU-14, anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi yang diadakan di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Ini diakui Pengarah Eksekutif Pusat Ilham, Hisomuddin Bakar yang berpendapat belum ada sebuah firma bebas yang bertanggungjawab menjalankan kaji selidik secara konsisten di negara ini.

Paling penting, tegasnya kaji selidik yang dijalankan mestilah tidak mempunyai agenda tersembunyi atau sekadar mahu mengaut keuntungan, sebaliknya perlu dibiayai pertubuhan atau yayasan besar dan bebas.

"Akibat tidak wujud firma yang menjalankan kaji selidik secara berkala ini, parti pemerintah seperti Barisan Nasional (BN) gagal mengesan perubahan sokongan rakyat untuk membolehkan mereka menyusun strategi menghadapi PRU-14," katanya.

Biarpun pelbagai pihak berpendapat keputusan PRU-14 menepati ramalan 'tsunami Melayu' tetapi ia tidak berlaku sepenuhnya, terutama di Pantai Timur Semenanjung yang masih menyaksikan Kelantan kekal di bawah pemerintahan PAS, selain Terengganu yang kembali dirampas parti itu. 

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, apa yang berlaku di kedua-dua negeri berkenaan adalah sokongan dan sentimen berbeza ditunjukkan rakyatnya.

Tsunami politik berbeza di kedua-dua negeri terbabit berlaku kerana bagi masyarakat Kelantan dan Terengganu, mereka meletakkan sokongan terhadap Islam sebagai paling utama, diikuti yang kedua kepada Melayu, manakala yang ketiga ialah Malaysia.

Ketika rakyat negeri lain melihat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai faktor yang mengalih sokongan pengundi Melayu, pengundi Kelantan bersikap sebaliknya, apabila melihatkan hubungan beliau sebelum ini bermasalah, termasuk hubungan dengan istana Kelantan yang membabitkan penarikan darjah kebesaran.


Proses perbandaran


"Kita juga boleh sifatkan pengundi di Kelantan sebagai pengundi senyap, manakala 40 peratus daripada kalangan mereka yang mengundi ialah pengundi luar," katanya.

Penyokong PAS di Kelantan dan Terengganu kini bukan lagi dalam kalangan masyarakat kampung biasa, sebaliknya turut membabitkan golongan profesional yang memberi sokongan apabila merasakan Islam dan Melayu semakin terancam.

Bagi Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, perubahan sokongan rakyat dalam PRU-14 yang berbeza di negeri Pantai Timur dan Pantai Barat juga mempunyai kaitan dengan proses perbandaran di kawasan terbabit.

"Urbanisasi bukan saja membezakan pemodenan di kedua-dua kawasan tetapi turut mengubah gaya atau pola berfikir masyarakat yang turut mempengaruhi parti yang menjadi pilihan mereka," katanya.

Namun, Prof Madya Dr Nidzam Sulaiman dari Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melihat perubahan yang berlaku termasuk di Sabah dan Sarawak yang sebelum ini disifatkan sebagai 'simpanan tetap' bagi undi untuk BN disebabkan faktor geografinya.

Jarak yang memisahkan Sabah dan Sarawak menjadikan wujudnya gerakan pemisah akibat rasa tidak puas hati kepada pemerintah yang kehangatannya turun naik bergantung kepada kerajaan dan pimpinan yang ada.

"Isu lama terutama pembangunan di Sabah dan royalti minyak yang dibawa ke tempat lain untuk tujuan pembangunan turut membawa perubahan dalam sokongan rakyat kali ini," katanya.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kampus Seremban, Mujibu Abd Muis, berkata kejatuhan kerajaan BN tidak sepatutnya dilihat parti berkenaan secara negatif, sebaliknya mereka perlu segera bangkit untuk menjadi pembangkang yang kuat.

Katanya, perkara itu penting dalam landskap politik sekarang untuk memastikan adanya 'semakan dan imbangan' kepada kerajaan pemerintah pada masa kini.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Sarawak, Dr Nadrawina Isnin pula berkata, demokrasi yang wujud di negara ini menunjukkan kemenangan yang berpihak kepada rakyat yang sejak sekian lama mahukan sebuah pilihan raya yang telus dan adil.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo