NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bagus DAP 'break' campur urusan Islam





DATUK Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan DAP selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedang melalui satu fasa positif apabila tidak lagi mencampuri urusan berkaitan Islam.

Presiden PAS itu berkata parti itu tidak seperti sebelum ini sering membuat kenyataan termasuk mempertikai isu berkaitan hal ehwal agama Islam, yang menjadi antara punca utama PAS meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.


"Saya respon dengan cara positif apabila pemimpin DAP tidak lagi 'cirit-birit' dalam membuat kenyataan.

"Dulu dia (DAP) membuat kenyataan berkenaan Islam yang mana tak ada hak dengannya untuk menyentuh hal berkaitan orang Islam, saya harap break ini diteruskan," katanya ketika wawancara bertajuk Politik PAS Era Malaysia Baharu bersama Astro Awani, hari ini.



Sebelum ini Majlis Syura PAS memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan pakatan pembangkang dalam PR, selepas tidak sehaluan dengan tindakan tanduk DAP.

Mengulas lanjut, katanya amat penting agar asas Perlembagaan yang menetapkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan diberikan keutamaan.

"Hak berkaitan Islam biar orang Islam yang bercakap, mereka boleh bela hak kaum mereka sendiri dan Islam tak akan ganggu hak mereka.

"Ini perlu dikembalikan kepada asas perlembagaan seperti saya sebut Islam agama Persekutuan perlu dihormati dan pada masa sama, kebebasan (diberikan untuk) mengamalkan agama lain yang tidak mengacau satu sama lain. Ini sangat penting," katanya.

Ditanya mengenai pendirian PAS sama ada sedia menyambut tangan dua pemimpin DAP iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng untuk bekerjasama, Abdul Hadi mengakui bersedia untuk berbuat demikian sekiranya bertepatan dengan konsep 'taawun' iaitu penyatuan atau kerjasama dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.

"Kita sedia terima semua, sebab itu saya perkenal konsep taawun, kita kerjasama perkara yang baik dan tak bekerjasama perkara yang tak baik. Itu konsep kita amalkan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi ketika ditanya berhubung peranan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mungkin menjadi penghubung antara PAS dan PH menegaskan, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Saya tak boleh buat satu andaian mengenai perkara akan datang, namun perkara lalu menjadi pengalaman kepada kita supaya beliau konsisten dalam kerjasama kita dengan pakatan dulu yang mana tak ada konsistensi dalam tidak menyentuh perkara dasar.

"Perkara berkaitan Islam DAP tak boleh sentuh kerana itu hak kita, menjadi masalah apabila PKR yang dipimpin beliau (Anwar) mengambil sikap pragmatik yang hanyut dan tak berpihak kepada pandangan Islam yang kita kemukakan, ini masalah yang kita hadapi," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi turut menyambut baik keterbukaan kerajaan Pusat dalam usaha membina sebuah negara secara bersama, malah mengakui akan ada rundingan antara negeri dan pusat kelak.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo