NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: Jangan pinggirkan Islam Zainul Rijal Abu Bakar 13 April 2018




PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU14. Ketika artikel ini ditulis beberapa buah negeri juga telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) mereka bagi membolehkan pilihan raya negeri serentak. PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari 7 April 2018.

Kesemua parti bertanding, Barisan Nasional (BN), Gagasan Sejahtera dan Pakatan Harapan (Harapan) sudah pun menzahirkan manifesto mereka masing-masing. Namun diperhatikan manifesto BN gagal menyerlahkan isu-isu mempertahankan agama Islam, Gagasan Sejahtera pula mendambakan secara umum menegakkan syariat Islam dan Pakatan Harapan lebih menumpukan membanteras penyalahgunaan kuasa.

Sebelum PRU12 lepas, NGO Islam telah membuat beberapa tuntutan kepada semua parti bertanding tetapi masih belum dipenuhi sehingga sekarang. Antara tuntutan tersebut ialah sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan termasuklah daripada kalangan ahli politik.

Bidang kuasa jenayah mahkamah syariah diperluaskan menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri mestilah direalisasikan. Dalam masa sama, mahkamah sivil dan mahkamah syariah disamatarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.

Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera dan diwujudkan Akta Profesion Guaman Syarie bagi mengawal selia peguam syarie seluruh negara seperti rakan mereka peguam sivil.

NGO Islam pernah menuntut supaya digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang tersebut.

Kerajaan  dituntut mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan, apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.

NGO Islam juga menuntut supaya kerajaan memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan termasuk menambah waktu dan pendekatan pengajaran Islam di sekolah yang membentuk jati diri kebangsaan.

Bantuan per kapita kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) hendaklah dikembalikan dan buku teks percuma juga dinikmati pelajar SAR. Kerajaan dipilih juga didesak menghentikan amalan diskriminasi Kementerian Pelajaran, di mana menafikan peluang murid cemerlang UPSR dan PT3 dari sekolah agama swasta memasuki sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), serta memberi peluang pelajar cemerlang daripada kalangan keluarga miskin memasuki sekolah berasrama penuh.

Kemudahan biasiswa dinikmati pelajar Melayu juga perlu diberikan kepada pelajar Islam bukan berketurunan Melayu. Di samping itu, kerajaan digesa menambah jumlah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pelajar Melayu/Islam yang cemerlang.

Amalan bacaan  al-Quran, doa dan sambutan perayaan kebesaran Islam perlu diteruskan kerana ia sama sekali tidak menghakis keharmonian kaum dan agama, malah mendidik anak bangsa menjadi insan bersahsiah mulia.

Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.

Program berunsur pendidikan Islam dan moral perlu diperbanyakkan dan disiarkan pada waktu puncak dan azan sepenuhnya hendaklah disiarkan setiap waktu. Program hiburan mempromosi budaya hedonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti.

Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara. Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Calon tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak. Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal tanpa mengira agama.

Bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan. Kerajaan  juga dituntut melaksanakan undang-undang anti maksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan.

Saya tidak berhasrat mengupas satu persatu sejauh manakah tuntutan NGO Islam ini telah dipenuhi. Terpulanglah kepada pembaca sendiri meneliti dan menginsafi setakat mana tuntutan ini telah diambil tindakan berbanding dengan tuntutan yang dizahirkan oleh golongan lain.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo