PUTRAJAYA: Gagasan Sejahtera (GAGASAN) diterajui PAS yang akan
bertanding 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),
menegaskan tidak akan berlaku percakaran dalam penentuan calon dan
pembahagian kerusi pakatan itu.
Pengerusi GAGASAN, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang, berkata pembahagian kerusi antara PAS, Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia
(BERJASA) berjalan lancar, tidak seperti Pakatan Harapan yang
menggunakan logo PKR yang masih bercakaran dan belum menyelesaikan
pembahagian kerusi sehingga kini.
"Kita akan guna satu logo sahaja termasuk di Sabah dan Sarawak. Bukan macam satu lagi 'kem' di sini kuku lain, sana kuku lain.
"Kita
tidak akan bercakaran, kita tidak ada kuku (bercakaran)," katanya pada
sidang selepas Majlis Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di sini,
malam tadi.
Yang turut hadir, Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Khadir Sheikh Fadzir dan Presiden BERJASA, Abd Kadir Mamat.
Mengulas
lanjut, Abdul Hadi berkata, parti mesra PAS, antaranya Parti Cinta
Malaysia (PCM) dan Parti Generasi Baru (PGB) pula akan menggunakan
simbol masing-masing.
"Bagaimanapun, kami akan memastikan tiada pertembungan antara calon kami (di mana-mana kerusi)," katanya.
Beliau yang juga Presiden PAS berkata, pihaknya akan meletakkan calon PAS untuk kerusi Parlimen Langkawi.
"Kita menghormati keputusanAbdul Kadir yang tidak bersedia untuk bertanding dalam PRU-14," katanya.
Sebelum ini, PAS menamakan Abdul Kadir untuk kerusi Parlimen Langkawi, namun ditolak oleh Abdul Kadir.
Selain
itu, Abdul Hadi memaklumkan GAGASAN menyasarkan untuk memenangi
sekurang-kurangnya 112 kerusi parlimen pada PRU-14 bagi memenangi
majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
"PAS mewujudkan GAGASAN kerana berdasarkan pengalaman kerjasama politik sebelum ini bersama PKR dan DAP.
Ini membuka ruang kepada kami mewujudkan gabungan ini yang mengamalkan amalan politik matang dan sejahtera.
Terdahulu,
dokumen Malaysia Sejahtera dibentangkan oleh Timbalan Presiden PAS,
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengandungi Manifesto Malaysia
Sejahtera, dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan
Induk Negara Sejahtera (WINS2051) dan Dokumen Hijau.
Tuan
Ibrahim turut membentangkan Manifesto Malaysia Sejahtera peringkat kedua
yang menggariskan 84 tawaran kepada 12 kelompok masyarakat iaitu
wanita; orang kurang upaya (OKU); anak muda; petani, penternak dan
nelayan; peneroka FELDA; penjawat awam; pekerja swasta; warga emas dan
pesara; orang asal; usahawan; korporat dan prihatin alam sekitar.
Antara
tawaran berkenaan termasuk memperkenalkan cuti khas untuk menjaga ibu
bapa yang sakit kronik dan kemudahan cuti bersalin tiga bulan tanpa had
bilangan anak kepada penjawat awam, penyeragaman elaun kepada OKU
sebanyak RM600 sebulan dan pelupusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) dan pewujudan Endowment Pendidikan untuk anak
muda.
Pada bulan lalu, GAGASAN melancarkan Manifesto
Malaysia Sejahtera peringkat pertama yang menawarkan 20 perkara utama
bagi menghadapi PRU-14.
No comments
Post a Comment