NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRU14: Adnan benteng BN di Pahang?



BARISAN Nasional (BN) menguasai 30 daripada 42 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pahang. Di peringkat Parlimen pula BN menguasai 10 daripda 14 kerusi selepas Pilihan Raya Umum 2013. Situasi ini menunjukkan BN Pahang dalam kedudukan yang selamat dan masih lagi dianggap sebagai benteng kekuatan BN. Dari satu sisi, tentu ada yang beranggapan bahawa Pakatan Harapan kurang berpeluang untuk menembusi kubu perdana menteri di Pahang. 

Namun hakikatnya, pembangkang sedikit demi sedikit berjaya menembusi kerusi BN di Pahang. Hal ini dapat dilihat daripada 37 kerusi BN pada 2008 kini kerusi BN cuma tinggal 30 sahaja pada 2013. PKR menang dua kerusi Parlimen di Kuantan dan Indera Mahkota, manakala DAP memperoleh satu kerusi di Raub dan PAS pula di Temerloh. Di peringkat DUN, DAP memenangi 7 kerusi, iaitu di Tanah Rata, Tras, Mentakab, Bilut, Ketari, Sabai dan Triang. PAS menang tiga kawasan iaitu, di Tanjung Lumpur, Beserah dan Kuala Semantan.

Pola perubahan dan pengurangan ini dijangka tidak mustahil akan berlaku jika Pakatan Harapan berjaya menggerakkan gelombang perubahan rakyat khusus di kawasan 27 buah kerusi di kawasan Felda. Namun BN juga ada kekuatan lain untuk mengimbanginya iaitu faktor Menteri Besar Adnan Yaakob sendiri.

Faktor Adnan Yaakob

Kekuatan BN di Pahang pada PRU13 terletak kepada kepimpinan Adnan yang secara umumnya masih diterima rakyat. Kini beliau telah memimpin Pahang selama 19 tahun. Tempoh ini agak lama, namun pengalaman dan pengaruhnya begitu sebati di Pahang. 

Hal ini seolah-olah Adnan dan Pahang sukar dipisahkan. Sebab itu, jika ada ura-ura beliau bakal digantikan maka kedudukan BN Pahang boleh goyang.

Itulah kelebihan Adnan dan ini sudah tentu memberikan kesan kepada BN dalam usaha meremajakan parti bagi memberi ruang kepada generasi pelapis untuk mengemudi Pahang.

Adnan bertanding di DUN Pelangai di Parlimen Bentong sejak tahun 1986 dan menjadi ketua bahagian Umno Bentong sejak tahun 1987. DUN Pelangai satu-satunya kerusi negeri yang dimenangi BN di Parlimen Bentong. Tiga DUN yang lain, iaitu Bilut, Ketari dan Sabai pula dikuasai oleh DAP. Maknanya, nasib ahli Parlimen ditentukan oleh DUN Pelangai yang dikuasai oleh Adnan.

Parlimen Bentong tergugat

Kedudukan Liow Tiong Lai kini bagaikan telur di hujung tanduk kerana pada PRU13, beliau hanya menang 379 undi sahaja. Ini seolah-olah tidak setimpal dengan kedudukannya sebagai presiden MCA yang perlu mandat lebih besar lagi. Pengaruh Tiong Lai juga dikatakan mulai merosot di Bentong kerana pada PRU2008 beliau berjaya memperoleh majoriti 12,549 undi.


Sekiranya Adnan tidak dicalonkan semula, atau dikhabarkan tidak dicalonkan semula sebagai menteri besar, ia boleh mengakibatkan kemarahan dalam kalangan penyokong Adnan. Seterusnya akan menjejaskan peluang Tiong Lai di Bentong. Ini bermakna hayat politik Tiong Lai bergantung pada masa depan politik Adnan.

Namun bagi pengundi Melayu, isu Rang Undang-Undang 355 yang dibangkitkan Tiong Lai mengguris hati mereka yang menganggap presiden MCA itu cuba mencampuri urusan etnik Melayu dan Islam – sedangkan Tiong Lai amat memerlukan undi orang Melayu. Isu ini dijangka dimainkan oleh PAS untuk meraih undi Melayu.

Meskipun DAP menguasai tiga DUN di Bentong, DUN Sabai yang hanya dimenangi dengan 117 undi dijangka sengit pada PRU akan datang. Ada ura-ura sekitar 2 ribu pengundi dari Felda Mempagai 1, 2 dan 3 akan berpindah ke Sabai. Sebelum ini hanya ada satu tanah rancangan Felda di Sabai iaitu Sertik.

DUN Sabai pernah ditandingi oleh MIC pada PRU13. Dengan pertambahan pengundi Melayu di Sabai daripada 36% kepada 60% hasil cadangan persempadan semula atau 4,000 pengundi Melayu, ini memberikan alasan kuat buat Umno untuk bertanding di Sabai.

Kerusi Panas 

Terdapat tujuh kerusi BN yang dimenangi dengan undi majoriti bawah 2,000 pada PRU yang lepas yang perlu diberikan perhatian pada pilihan raya umum kali ini. Kerusi tersebut termasuklah Padang Tengku yang dimenangi dengan 1,914 undi, Ceka 1,185 undi, Tahan 1,090 undi, Inderapura 1,944 undi, Panching 1,036 undi, Jengka 1,303 undi dan Lanchang 1,127 undi. 

Ada juga 4 kerusi BN yang hanya dimenangi dengan undi majoriti kurang daripada 1,000, iaitu Benta (901 undi), Dong (481 undi), Damak (64 undi), dan Luit (401 undi).

PH boleh menang di Damak sekiranya tidak ada perebutan kerusi antara DAP dan PKR sepertimana berlaku pada PRU13 yang menyebabkan BN menang tipis.

Kerusi Dong, Luit, Lipis, Jerantut dan Tahan misalnya adalah kawasan yang sebelum ini ditandingi PAS dan ini boleh menjejaskan PH.

Bagi pembangkang pula kerusi panas ialah Sabai yang dimenangi oleh DAP dengan 117 undi, Mentakab 1,554 (DAP), dan Tanjung Lumpur 796 undi (PAS). DUN Sabai dan Tanjung Lumpur dijangka berpeluang dimenangi BN manakala DAP dijangka mampu bertahan di Mentakab.

PAS yakin mempunyai kekuatan sekitar 30% kekuatan setiap DUN sudah mengumumkan mahu 38 kerusi DUN dan 13 kerusi parlimen dengan kerjasama Gagasan Sejahtera di Pahang dijangka akan memecahkan undi Pakatan Harapan. Dijangka pertandingan tiga penjurulah antara faktor BN boleh menang lebih 130 kerusi di peringkat nasional.

Perubahan demografi di Pahang menurut Jabatan Perangkaan Malaysia memberi kesan sosio ekonomi dan politik di negeri itu. Kini hanya 44% penduduk tinggal di luar bandar sementara selebihnya sudah berhijrah dan mendiami kawasan bandar. Kesan perubahan teknologi pula menyebabkan maklumat cepat diterima melalui media sosial termasuk di pinggir bandar. Pergantungan media arus perdana seperti televisyen dan akhbar konservatif mulai pudar.

Kecelikan politik semakin meningkat dan apa-apa perkembangan politik semasa semakin mudah diketahui meskipun sumber yang diterima belum tentu kesahihannya. Inilah yang berlaku di Pahang yang bakal mempengaruhi keputusan politik semasa. Ternyata pertarungan politik PRU14 tidak lama lagi dijangka lebih mencabar. – 18 Februari, 2018.





* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.


















________________ 
Penafian: 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
© all rights reserved
made with by templateszoo