NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pengambilalihan PLUS Tidak Bolehupaya





Dalam kenyataan awal Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU) yang lalu, kami menegaskan bahawa bagi menjaga kepentingan lebih 14 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), maka cadangan pengambilalihan PLUS oleh Maju Holdings Sdn. Bhd. (Maju) tidak harus dibenarkan dan semua pemegang saham perlu menolaknya.

BACA DISINI PLUS TIDAK HARUS DI JUAL https://goo.gl/SZjjJf

Pertimbangan LEPU ini bukan sahaja disebabkan bagi menjamin masa depan pulangan kepada KWSP dan semua ahli, malah juga dari segi kebolehupayaan mengambilalihan tersebut. Faktor yang paling utama adalah pembiayaan dan keseluruhan model kewangan yang akan digunakan oleh Maju. Umum mengetahui bahawa PLUS adalah operator lebuhraya yang telah matang dengan umur asset yang kebanyakkan telah mencecah lebih 30 tahun.

Dengan umur asset sebegini, sebahagian besar kos pembiayaan asset tersebut sudahpun dilunaskan. Oleh itu kos operasi setiap kilometer PLUS adalah yang terendah yang mana dengan itu juga lah maka ia mampu memberikan caj tol yang terendah berbanding operator lain.

Sekiranya pengambilalihan oleh Maju berlaku, dengan harga tawaran dilaporkan lebih RM30 billion, maka kos pembiayaan akan meningkat semula yang juga akan mempengaruhi kos operasi dan kadar tol. Oleh itu adalah amat mustahil Maju mampu untuk menawarkan tiada kenaikan tol untuk 20 tahun dalam situasi begini, sebagaimana yang dijanjikan dalam cadangannya. Perlu juga diingat bahawa dalam masa sama PLUS mempunyai hutang jangka panjang sebanyak RM31.27 billion dan liabiliti semasa sebanyak RM1.56 billion.

Apa lagi Maju juga menyatakan bahawa keseluruhan lebuhraya PLUS akan dinaiktaraf termasuk memasang lampu di sepanjang lebuhraya. Dengan tiada kenaikan tol dan kos kewangan yang lebih tinggi, bagaimana Maju akan mampu untuk menampung kos untuk menaik taraf semua lebuhraya tersebut? Sekiranya ianya boleh dilaksanakan, sudah tentu PLUS sudah melakukannya, malah dalam situasi optimum sekarang PLUS lebih mampu untuk melakukannya berbanding operator lain.

Dalam temuramah pemilik Maju iaitu Tan Sri Abu Sahid Mohamed bersama The New Strait Times, beliau juga mengakui dan menyatakan bahawa Maju Expressway yang dikendalikan olehnya perlu kenaikan tol kerana ianya asset baru yang berumur 8 tahun. Ini disebabkan kos pembiayaan iaitu bon yang masih tinggi. Ini mengesahkan bahawa kos utama dalam pemilikan lebuhraya adalah pembiayaan. Maka oleh itu sekiranya pengambilalihan berlaku, kos pembiayaan akan naik semula. Bagaimana Maju mampu untuk menanggung ini tanpa kenaikan tol dan apa lagi untuk menaik taraf?

Jesteru itu LEPU berpandangan dan sekali lagi menegaskan bahawa penjualan PLUS adalah amat tidak bolehupaya dan tidak harus diteruskan, bukan sahaja bagi menjaga kepentingan ahli KWSP malah kepada semua pengguna lebuhraya.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi
Lajnah Ekonomi & Pembangunan Usahawan PAS Pusat (LEPU)

30 Zulhijjah 1438H
21 September 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo