NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mufti Wilayah: Nasab Anak Zina Kepada Penzina Amalan Jahiliyah Yang Telah Dibatalkan Oleh Islam


KUALA LUMPUR: Amalan menasabkan anak zina atau Anak Tak Sah Taraf kepada penzina adalah amalan masyarakat jahiliyah yang telah lama dibatalkan Islam. 

Perkara tersebut ditegaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sohibuh Samahah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri dalam satu makalah Bayan Linnas Siri 106 yang diterbitkan hari ini. 

Kami berpendapat bahawa hujah yang melarang dibinkan dan dibintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Quran, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.

Sementara itu pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menegaskan bahawa hujah menutup malu dan aib kepada anak dan keluarga bukanlah satu alasan yang kuat. 

Ini kerana syariat Islam jelas menunjukkan larangan membinkan atau membintikan kepada selain bapanya yang sah melalui perkahwinan. 

Menurut SS Mufti lagi, banyak hukuman dalam Islam diperintahkan supaya dilaksanakan secara terbuka, termasuk dalam kes sebatan zina. 

Justeru, sebagai sikap bertanggungjawab, hendaklah pasangan yang terjebak dengan zina bernikah secepat yang mungkin apabila sudah berlaku zina kali pertama sebagai bentuk pemulihan diri dan taubat kepada Allah dan berhenti daripada melakukan dosa kepada hubungan yang halal. Bahkan seperti mana yang telah disebutkan di atas, ulama yang membenarkan nisbah anak zina sendiri mensyaratkan bahawa hendaklah ibu bapa yang berzina itu dihukum dengan hukuman syariat yakni dirotan 100 kali sebelum dia boleh menasabkan anak tersebut kepada dirinya.
 Ini kerana zina itu seperti mana yang ditekan dalam al-Quran adalah fahisyah, benda yang tersangat keji dan merosakkan masyarakat. Maka, masyarakat perlu disedarkan dengan melihat hukuman rotan itu sendiri sebagai pengajaran daripada Allah atas kerosakan yang berlaku dan menghindari keluarga dan kerabat mereka daripada berbuat zina. Dengan itu, zina yang menjadi punca kepada masalah ini dapat dihilangkan, atau diminimumkan, seterusnya menghilangkan masalah anak zina, dan isu malu yang disebut-sebut.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menasihati para pasangan supaya mengambil berat isu persetubuhan sebelum berkahwin agar tidak timbul isu nasab anak sehingga mendatangkan aib kepada diri sendiri dan aib kepada anak. Baru-baru ini isu bersekedudukan dan nasab anak tak sah taraf telah menjadi tular di media-media sosial dan mendapat perhatian rakyat Malaysia.

© all rights reserved
made with by templateszoo