NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memorandum Ahli Akademik Kepada ROS Mengenai DAP



Kepada ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, sukacita dimaklumkan bahawa saya telah memulakan inisiatif untuk menyediakan satu memorandum bagi mendesak Pendaftar Pertubuhan (RoS) memberi surat tunjuk sebab kepada DAP mengapa pendaftaran DAP tidak boleh dibatalkan dan seterusnya membatalkan pendaftaran DAP jika DAP gagal memberi representasi yang memuaskan kepadanya.

Asas utama yang kami gunakan di dalam memorandum ini adalah bahawa banyak daripada aktiviti-aktiviti atau hal-ehwal DAP yang berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia dan mengenai kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak.

Asas yang kami gunakan di dalam memorandum ini adalah selari dengan peruntukan Seksyen 2A (1) Akta Pertubuhan yang berbunyi: “Adalah menjadi kewajipan tiap-tiap pertubuhan berdaftar dalam menjalankan aktiviti-aktivitinya dan dalam menjalankan hal-ehwalnya, memastikan bahawa aktiviti-aktiviti dan hal-ehwal itu adalah mengikut, selaras mengikut dan mematuhi, peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan-Perlembagaan Negeri, dan jika ada apa-apa daripada aktiviti-aktiviti atau hal-ehwal mana-mana pertubuhan yang adalah dalam apa cara berlawanan dengan, atau berkurangan atau bertentangan terhadap, atau tidak mengambilkira mengenai —
(b) Kedudukan agama Islam sebagai agama Malaysia, dengan agama-agama lain diamalkan secara aman dan harmoni; atau
(d) Kedudukan orang Melayu dan orang asli Negeri Sabah dan Sarawak;
seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana Perlembagaan Negeri, Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran pertubuhan itu selepas memberi pertubuhan itu suatu peluang untuk memberi representasi kepadanya.”

Satu lagi peruntukan yang akan kami gunakan adalah Seksyen 13 (1) (c) Akta Pertubuhan yang berbunyi: “Tertakluk kepada seksyen kecil (2), Pendaftar boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah seksyen 7 jika Pendaftar puas hati —
(ii) bahawa pertubuhan itu mungkin digunakan bagi maksud-maksud yang menyalahi undang-undang atau bagi maksud-maksud yang memudaratkan atau yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan, ketenteraman atau akhlak di dalam Persekutuan;
(iii) bahawa pertubuhan itu adalah berusaha hendak mencapai tujuan-tujuan lain daripada tujuan-tujuan yang ia didaftarkan;”

Setakat ini sudah lebih 100 ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan, termasuk 18 Profesor dan 24 Profesor Madya, yang bersetuju, di atas kapasiti peribadi mereka, untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini.

Ahli-ahli akademik yang bersetuju untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini  adalah termasuk ahli-ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan berikut:

• UM - Universiti Malaya, KL
• UKM - Universiti Kebangsaan Malaysia, Selangor
• UPM - Universiti Putra Malaysia, Selangor
• USM - Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
• UTM - Universiti Teknologi Malaysia, Johor
• UMP - Universiti Malaysia Pahang, Pahang
• UIAM - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Selangor
• UUM - Universiti Utara Malaysia, Kedah
• UMS - Universiti Malaysia Sabah, Sabah
• UPSI - Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak
• USIM - Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan
• USAS - Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia, Perak
• UITM - Universiti Teknologi MARA, Selangor
• UMT - Universiti Malaysia Terengganu, Terengganu
• UTHM - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor
• UniMAP - Universiti Malaysia Perlis, Perlis
• UniSZA - Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu
• UMK - Universiti Malaysia Kelantan, Kelantan
• UMP - Universiti Malaysia Pahang, Pahang
• UNISEL - Universiti Industri Selangor, Selangor
• MMU - Universiti Multimedia, Selangor

Kepada mana-mana ahli akademik yang sedang berkhidmat di universiti-universiti tempatan yang turut berminat untuk menjadi penandatangan kepada memorandum ini  anda boleh berbuat demikian dengan menghubungi saya, dengan syarat bahawa anda hendaklah mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD).

Sekian, terima kasih.
Dr Kamarul Zaman Yusof
© all rights reserved
made with by templateszoo