NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Daftar pemilih: PAS mungkin fail injuksi halang diwartakan?


PUTRAJAYA: PAS mungkin memfailkan injunksi di mahkamah bagi menghalang Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) Suku Tahun 1/2017 yang dipamerkan baru-baru ini daripada diwartakan, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal memenuhi 2 tuntutan mereka, kata naib ketua Pemuda parti itu.

Ahmad Fadhli Shaari berkata, SPR diberi 48 jam untuk memenuhi 2 tuntutan itu, iaitu menghentikan semua pemindahan pengundi sehingga siasatan terperinci dilakukan dan mengedarkan RDPT kepada parti politik.

“Kembalikan semula pembekalan cakera padat RDPT kepada parti politik seperti sebelum ini untuk memudahkan proses menyemak pergerakan pengundi bagi mengelakkan sebarang manipulasi oleh mana-mana pihak.

“Kita tidak melihat sebarang sebab kenapa RDPT ini tidak boleh dibekalkan kepada parti politik. Tidak ada sebab. SPR tidak sepatutnya menyembunyikan maklumat ini daripada parti politik yang akan bertanding sebagai menghormati lunas demokrasi diamalkan di negara ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum mengenai RDPT Suku Tahun 1/2017 kepada wakil SPR Mohd Sabri Abdullah di sini hari ini.

Pada 29 April lalu, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pengarah pilihan raya negeri sudah diarah menghentikan pengedaran RDPT Suku Tahun kepada parti politik semasa Pameran RDPT.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata, Pemuda PAS dan negeri Kelantan memandang serius beberapa masalah yang dikesan dalam RDPT Suku Tahun 1/2017, termasuk pemindahan pengundi dari kawasan Barisan Nasional (BN) kalah dengan majoriti besar ke kawasan PAS menang dengan majoriti di bawah 1,500 undi.

“Pemerhatian kami mendapati tumpuan pemindahan pengundi ini melibatkan beberapa DUN (Dewan Undangan Negeri) yang diwakili exco kerajaan negeri seperti Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan (Adun Temangan) dan Datuk Abdul Fattah Mahmood (Adun Bukit Panau).


“Kami juga mengesan sejumlah pengundi yang dimasukkan ke daerah mengundi di dalam DUN Bukit Panau yang menyatakan lot rumah tidak wujud.

“Bila kita ambil gambar dan buat pembuktian dengan cabutan daripada Pejabat Tanah menunjukkan lot ini tidak didiami sesiapa,” katanya.

Pada 19 Mei lalu, Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dilaporkan berkata, proses pemindahan pengundi ialah perkara biasa dan sebahagian daripada proses kemas kini yang dilakukan SPR mengikut peraturan ditetapkan.

Beliau menasihatkan parti politik yang tidak berpuas hati dengan sistem pemilihan SPR itu membuat bantahan supaya ia boleh disiasat mereka.


Sumber: http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/25/pas-mungkin-fail-injunksi-halang-daftar-pemilih-diwartakan/

Gambar: Harakahdaily

Baca Memorandum: https://www.pas.org.my/berita-kenyataan-dppp/11616-pemuda-pas-hantar-memorandum-bantah-daftar-pemilih-kepada-spr
© all rights reserved
made with by templateszoo