NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin tak arah letak jawatan, kata exco PAS S'gor



Exco Selangor dari PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, beliau tidak menerima sebarang arahan daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk meletakkan jawatan daripada kabinet negeri tersebut.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut hari ini, Iskandar berkata, beliau tidak akan mengulas mengenai laporan berita kononnya Azmin mengarahkan semua exco Selangor dari PAS meletak jawatan susulan terbatalnya kerjasama politik antara parti itu dengan PKR.

"Tidak, tidak ada arahan apa jua," kata Iskandar ketika ditemui di luar acara mesyuarat speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri 2017 di Shah Alam, hari ini.

Ditanya mengenai kesahihan laporan The Star hari ini yang memetik Azmin menyeru tiga exco dari PAS untuk meletakkan jawatan, Iskandar berulang kali berkata, "Saya tidak tahu."

Apabila diasak jika laporan The Star betul, beliau berkata, "Saya tidak tahu. Tetapi saya tidak menerima apa-apa (berita),".

Tambahnya, pertemuan dengan Azmin semalam adalah 'sangat baik'.

Sementara itu, Datuk Dr Ahmad Yunus yang menyandang portfolio Pengerusi Tetap Agama dan Adat Resam Melayi dalam barisan exco kerajaan negeri turut menafikan dakwaan isu pemecatan itu.

"Tiada kenyataan yang keluar dari mulut menteri besar sendiri berhubung isu pemecatan itu. Sebab itu, saya terkejut bila isu ini keluar dalam beberapa laporan media hari ini...kita sendiri tidak tahu
siapa yang mencipta isu ini.

"Mesej menteri besar yang terkini kepada saya adalah beliau kata akan letak kita (exco PAS) dalam Kabinetnya," katanya.

Kerajaan Selangor yang dipimpin Mohamed Azmin mempunyai komposisi exco yang sama bilangan iaitu masing-masing tiga orang terdiri keanggotaan daripada DAP dan PAS serta 4 orang lagi dari PKR,.

Selain Ahmad Yunus dan Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar. Seorang lagi exco PAS adalah Zaidy Abdul Talib yang menyandang Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam,
Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.
© all rights reserved
made with by templateszoo