Profesor Ekonomi di Pusat Pengajian Perniagaan Sunway University, Dr. Yeah Kim Leng berkata, ini berikutan terdapat perubahan dalam jangkaan ekonomi AS selepas pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS ke-45.
“Ketidakstabilan yang meningkat dijangka berlaku di kebanyakan pasaran pesat membangun berikutan pelabur tidak pasti mengenai dasar-dasar AS apabila Trump mengambil alih jawatan Presiden.
“Bagaimanapun, ketidakstabilan itu berbeza di setiap negara. Seperti Malaysia, pelaburan asing dalam pasaran bon, terutamanya dalam sekuriti kerajaan, akan menyaksikan aliran keluar yang meningkat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lebih buruk indeks utama Bursa Malaysia, KLCI hari ini telah merosot lebih 10 mata kepada 1,622.55 mata. Komoditi minyak yang menjadi antara pengukur utama pergerakan ringgit juga hari ini terus merosot kepada AS$44.75 (RM192.43) setong berbanding lebih AS$50 (RM216.50) setong sepanjang Oktober.
Penasihat ekonomi Trump, Judy Shelton sebelum ini me­nuduh Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Janet Yellen mengamalkan dasar ‘palsu’ dengan membenarkan kadar faedah AS pada tahap yang rendah.

Beliau berkata, Trump dikatakan bakal melantik pengerusi bank pusat AS yang baharu bagi memenuhi dasar-dasar ekono­minya. Kenaikan kadar faedah oleh AS akan menyebabkan pengeluaran dana dan aset milik pelabur-pelabur antarabangsa di pasaran negara berkembang maju untuk dipindahkan ke pasaran kewangan AS.

Selain itu, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, ketidaktentuan nilai ringgit itu bagaimanapun hanya bersifat sementara memandangkan AS selaku kuasa ekonomi dunia sedang mengalami penstrukturan dasar ekoran peralihan tampuk pentadbirannya.

Beliau percaya ekonomi Malaysia tidak akan terjejas begitu teruk kerana pelabur-pelabur antarabangsa akan terus tertarik dengan pasaran Malaysia, khususnya selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China minggu lalu.
“Lawatan Perdana Menteri akan menarik banyak pelaburan dari China yang akan merancakkan ekonomi tempatan. Selain itu paras ringgit yang lebih rendah akan membolehkan Malaysia terus meningkatkan lebihan eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengambil langkah-langkah untuk memperkukuh semula peraturan sedia ada yang telah dilaksanakan untuk menghalang pemudahan kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) bagi ringgit.
Menurut bank pusat itu, ringgit kekal sebagai mata wang yang tidak diurusniagakan pada peringkat antarabangsa, sekali gus apa-apa urus niaga luar pesisir seperti NDF bagi ringgit adalah tidak diiktiraf.
Katanya, setakat ini, tidak ada perubahan dalam Pentadbiran Peraturan Pertukaran Asing (FEA) dan tidak ada apa-apa langkah baharu yang diper­kenalkan.

BNM juga mengingatkan semua peserta pasaran supaya mematuhi peraturan FEA sedia ada dan institusi kewangan berlesen di Malaysia perlu menghindari daripada memudahkan apa-apa urus niaga pertukaran asing (FX) yang boleh dikaitkan dengan aktiviti pasaran NDF bagi ringgit luar pesisir.

“Pasaran pertukaran asing Malaysia kekal terbuka dan BNM sentiasa bersedia untuk menyediakan mudah tunai sekiranya perlu bagi memastikan operasi pasaran adalah teratur.
“Malaysia terus menggalakkan kemasukan pelaburan benar dan menyediakan semua kemudahan untuk urus niaga pertukaran asing dan keperluan perlindungan nilai dalam negara,” menurutnya dalam kenya­taan hari ini.
BNM menasihati orang ramai supaya menghubungi institusi kewangan berlesen di negara ini untuk semua keperluan pertukaran asing.