NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO tumpu usaha pembubaran Parlimen segera

PETALING JAYA: UMNO memuktamad untuk membincangkan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat berikutan serangan kepada parti itu masih berterusan. 

Setiausaha Agungnya, Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu memandang serius susulan Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan berhubung prosiding kes saman SRC International Sdn Bhd melibatkan dana bernilai RM16 juta. 

Jelas beliau, UMNO menyatakan pendirian bahawa dana tersebut tidak diketahui sumbernya semasa ia disalurkan kepada parti dan tindakan saman oleh Kementerian Kewangan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai usaha untuk mencalarkan imej parti dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas.

“Ekoran keputusan terbaharu Mahkamah Tinggi ini, UMNO akan memanggil satu mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi yang tarikh akan diumumkan dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah politik yang akan diambil untuk menentukan hala tuju parti yang ditekan dengan kes-kes mahkamah yang remeh.

“UMNO juga akan memutuskan berhubung isu pembubaran Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya mum dengan secepat mungkin kerana nampaknya serangan terhadap parti masih berterusan. 

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sudah menyatakan komitmen sebelum ini untuk mematuhi segala arahan dan ketetapan yang akan dimuktamadkan dalam mesyuarat ini nanti walaupun terpaksa melepaskan jawatannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan UMNO untuk menggantung prosiding kes saman SRC International Sdn. Bhd. terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti itu.

Permohonan UMNO itu difailkan pada 24 November 2021 antaranya atas alasan parti berkenaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 November tahun sama, yang menolak permohonan parti politik berkenaan untuk membatalkan kes saman itu dan membenarkan permohonan SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd selaku plaintif bagi meminda writ saman dan pernyataan tuntutan. 

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama permohonan itu, Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd. Sumali Reduan mendakwa tiada sebarang prejudis kepada plaintif-plaintif sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penggantungan prosiding kes saman berkenaan. 

Sumber | UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo