Selamatkan Harimau Malaya


oleh: TUAN CHE ALIAS BIN HAMID

1. Malaysia sedang menghadapi ancaman kepupusan Harimau Malaya ( panther tigris jacksoni ) yang menjadi satu lambang kebanggaan negara dan melalui International Union for Conservation of Nature (IUCN), Harimau Malaya telah disenaraikan sebagai Critically Endangered (CR). Merujuk Survei Harimau Kebangsaan yang menjalankan kajian ke atas 75 peratus hutan di Semenanjung Malaysia, bilangan Harimau Malaya didapati hanya kurang 200 ekor sahaja.

2. Sekiranya tiada tindakan yang drastik, proaktif dan efektif daripada pihak Kerajaan dan agensi yang terlibat untuk pemuliharaan spesies ini, ia tidak mustahil Harimau Malaya akan pupus selamanya di negara kita akibat aktiviti manusia sendiri. Di negara kita selain Harimau Malaya yang paling terancam, haiwan seperti Tenuk Malaysia, orang utan, Gajah Borneo, Badak Sumbu Sumantera dan tenggiling juga antara spesies yang kritikal perlu dilindungi sepenuhnya.

3. Antara punca utama yang mengancam spesies Harimau Malaya adalah aktiviti pemburuan haram yang menggunakan jerat dawai oleh warga tempatan termasuk orang asli dan warga asing untuk pasaran gelap yang mendapat permintaan tertinggi. Merujuk statistik dari tahun 2015 hingga 2017, 25 ekor hidupan liar pelbagai spesies seperti kijang, rusa dan pelanduk mati akibat dijerat. Selain itu, perdagangan hidupan liar, kehilangan habitat akibat pembalakan dan penerokaan hutan serta kekurangan sumber makanan juga antara faktor yang mempengaruhi penurunan spesies Harimau Malaya.

4. Saya menyokong penuh usaha-usaha Kerajaan bagi memulihara Harimau Malaya daripada terus terancam di negara kita. Usaha Kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah pemburuan haram hidupan liar di bawah penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar,2010 (Akta 716) adalah satu usaha yang baik.

5. Manakala, rondaan penguatkuasaan dan pemantauan kawasan hotspot pemburuan haram yang dilakukan secara berterusan adalah wajar sama ada di dalam dan luar Kawasan Perlindungan (PA).

6. Tetapi saya menggesa Kerajaan untuk mempergiatkan lagi usaha agar tiada kelompangan dan ketirisan dalam usaha memulihara Harimau Malaya daripada kepupusan. Kerajaan disarankan memperkukuhkan lagi kawalan sempadan daripada pencerobohan pemburuan haram sama ada warga tempatan termasuk orang asli mahupun warga asing dari negara Thailand, Vietnam dan Kemboja.

7. Kerajaan juga digesa melakukan penguatkuasaan operasi gerak gempur secara mengejut di kawasan hotspot bagi memerangi Jenayah Siber Hidupan Liar dan pasaran gelap.

8. Merujuk penurunan mendadak spesies Harimau Malaya didapati 3,500 jerat dirampas dalam tempoh lima tahun, Kerajaan digesa mengehadkan pengeluaran jerat dawai dan tidak sewenangnya mudah dibeli dan diperolehi oleh pemburu haram. Kerajaan juga perlu wujudkan satu sistem atau merekodkan pembelian dawai dengan jelas bagi memudahkan Kerajaan mengetahui penggunaan dawai yang dibeli.

9. Akhir sekali, saya mencadangkan supaya setiap kawasan hotspot sama ada di kawasan Hutan Simpan Kekal (PRF) dan Kawasan Perlindungan (PA) perlu diletakkan kamera litar tertutup ataupun perangkap untuk mengesan penceroboh yang memburu secara haram.


“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID ialah Ahli Parlimen Kemaman
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Mediaonline

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget