NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

[Terkini] Kes Ustaz Adib ditunda lagi. Moga tabah hadapi dugaan - Pendidik



KENYATAAN MEDIA
PERSATUAN GERAKAN KEBANGKITAN PENDIDIK KEBANGSAAN(PENDIDIK)

Kes Ustaz Adib:NGO Pendidik rakam takziah. Semoga tabah menempuh dugaan.

1.Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) ingin melahirkan rasa simpati atas ujian yang menimpa Ustaz Mohd.Adib Bin Abd.Halim Yahaya ,23 tahun dari Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra ,dalam kawasan Hulu Langat yang hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang pada 26 Disember 2017 ,atas tuduhan merotan pelajar yang enggan menunaikan solat ketika sesi persekolahan.

2.Kronologi peristiwa ini melibatkan 4 orang pelajar yang berumur 11 tahun di Sekolah Rendah Agama Bandar Seri Putra ,Hulu Langat Selangor pada Ogos 2017 lalu.

Sudah menjadi kelaziman di sekolah agama,memang tiba waktu solat berjamaah,semua pelajar akan dikehendaki ke surau sekolah untuk menunaikan solat.

Malangnya 4 orang pelajar ini bermain dan menyorok sehingga beberapa kali diingatkan namun mereka enggan dan melengah-lengahkan sehingga akhirnya dirotan di bahagian kaki oleh Ustaz Adib sebagai hukuman untuk mendidik dan mendisiplinkan pelajar.

Cuma salah seorang ibu bapa atau keluarga pelajar ini tidak menerima hakikat apa yang berlaku lalu membuat laporan polis seterusnya mengheret guru ini ke mahkamah serta tidak mahu menyelesaikan kes ini secara harmoni.

3.Pendidik ingin melahirkan rasa kesal dan dukacita atas tindakan segelintir ibu bapa yang terlalu percaya dan memanjakan anak sehingga segala aduan melibatkan tindakan warga pendidik yang diberi tanggungjawab mendisiplinkan anak -anak agar memiliki jatidiri dan sahsiah terpuji dipandang sepi dan tidak dihargai oleh ibubapa.
Sumbangan kewangan dari warga pendidik kepada Ustaz Adib tanda ingatan tulus kepada seorang Ustaz yang tabah.Masih mampu tersenyum walaupun menghadapi ujian getir

4.Harus difahami juga bahawa hukuman kepada pelajar biasanya adalah untuk mendidik bukan bertujuan mendera atau mencederakan murid.Sepatutnya ibu bapa perlu merujuk kepada pihak pentadbir sekolah jika ada kemusykilan dan rasa tidak puas hati serta menyiasat terlebih dahulu khabar yang dibawa oleh anak mereka agar segala kekeliruan boleh dirungkai secara harmoni tanpa mengheret guru ke mahkamah"katanya lagi.

5. Dalam kes pada hari ini,apabila ibu bapa terburu-buru dalam bertindak mengheret guru ke mahkamah,sekaligus ini akan menyebabkan guru sekolah agama ini telah teraniaya sedangkan Ustaz Adib sedang menjalankan tugasnya dalam membentuk jati diri dan sahsiah pelajar agar patuh ajaran Agama Islam.

6.Tahukah kita semua bahawa ini kali ke 5 Ustaz Adib dibicarakan bermula 27 September 2017 lalu dan kes ini akan berpanjangan sehingga perbicaraan bertarikh 6 dan 7 Februari 2018.

Cuba bayangkan dengan segala kerumitan yang dialami ini,di mana proses perbicaraan akan berlangsung hingga ke tahun 2018 mengikut prosedur pendakwaan mahkamah

7.Perbicaraan pada 26 Disember tadi tadi baru proses dan rasa mengemukakan Laporan perubatan awal Medical Report atau 'Laporan Perubatan Penuh' belum siap dan tidak dapat dikemukakan lagi oleh pihak pendakwaraya. Jadi Hakim Mahkamah Majistret Kajang telah tetapkan tarikh perbicaraan disambung semula pada 6 dan 7 Februari 2018(selama 2 hari) untuk perbicaraan seterusnya.

8.Apa yang paling menyedihkan,guru ini bukan sahaja digari malahan telah ditahan reman di lokap selama 5 hari bersama-sama pesalah lain yang terlibat dalam kes jenayah lain seperti penyalahgunaan dadah,kes mencuri dan pelbagai kesalahan jenayah yang lain lagi.

9.Bukan setakat itu sahaja ,apa yang paling mengejutkan ,Ustaz Adib telah ditukarkan sekolah lain pada tahun hadapan dan bakal berkhidmat di sekolah agama lain,sedangkan beliau belum lagi belum dibuktikan bersalah dan baru menghadapi proses pendakwaan serta pertuduhan.

10.Prinsip perundangan di Malaysia adakah seseorang itu tidak dikatakan bersalah selagi belum dibuktikan bersalah.Justeru,sepatutnya Ustaz Adib tidak perlu dipindahkan selagi belum dibuktikan bersalah.

11.Namun,apa yang mengharukan kami dari NGO Pendidik adalah kedua ibu bapanya begitu tenang dan hadir memberikan sokongan moral yang tidak berbelah bagi dan mencari peguam untuk anaknya bagi mendapat pembelaan sejak 27 September 2017 lalu.Pendidik percaya tidak ramai yang tahu kes Ustaz Adib ini sehinggalah kes Cikgu Azizan tular di media sosial baru-baru ini.

12. NGO Pendidik berharap agar cukuplah insiden ini membuka mata semua pihak terutama ibu bapa agar mengambil iktibar atas apa yang berlaku.

Jangan biarkan peristiwa 'Anakku Sazali ' dalam cerita P.Ramlee berulang dan tragedi 23 orang warga Tahfiz Ittifiqiyyah terkorban kerana kebakaran yang disengajakan dengan niat untuk membunuh, apabila telah hilang jatidiri dan sahsiah terpuji dari kalangan remaja muda akibat nilai murni dan rasa peri kemanusiaan telah terhakis dalam diri sehingga melakar sejarah hitam dalam persada pendidikan negara.Sudah tentu ini bukanlah generasi idaman citra Malaysia yang kita harapkan bakal penerus kelangsungan masa hadapan .

Terima kasih.

Salam hormat:
Pn. Normala Binti Sudirman
Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik)
26 Disember 2017
© all rights reserved
made with by templateszoo