NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'PRN Melaka, jangan tunggu lama-lama'



KUALA LUMPUR - UMNO Melaka perlu bersedia mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO seluruh negara bersedia untuk menggerakkan segala kekuatan bagi membantu jentera parti di negeri tersebut.

“PRN Melaka akan diadakan bila-bila masa. Terpulanglah kepada Datuk Rauf (Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh).

"Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama, diambil orang (dalam nada seloroh).

“Datuk Rauf, kami telah bersedia. Kami (UMNO seluruh negara) akan datang membantu Melaka. Buat elok-elok, pakat elok-elok. Muafakat biar bulat, berunding jangan selisih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bagi Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.

Mohamad memaklumkan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan momentum kejayaan di negeri-negeri bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) pula.

Terdahulu, Ab Rauf memberi bayangan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin dibuat dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.

Ab Rauf ketika ditemui pemberita selepas perasmian serentak PAU 2026 memaklumkan, pihaknya mengalu-alukan sebarang rundingan termasuk selepas DUN Melaka dibubarkan.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pemuda Pas hadiri PAU demi penyatuan



SHAH ALAM – Pemuda Pas akan menghadiri Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis sebagai tanda komitmen terhadap usaha memperkukuh hubungan antara kedua-dua parti Melayu itu.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kehadiran tersebut adalah bagi membalas jemputan yang diberikan oleh sayap Pemuda UMNO selepas wakil mereka menghadiri Muktamar Pas minggu lalu.

Menurut beliau, langkah itu mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk meneruskan hubungan yang lebih baik demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam.

“Hari itu kita jemput ke muktamar, mereka datang. Kali ini mereka jemput ke PAU (Perhimpunan Agung UMNO), kita pergi.

“Demi penyatuan, kami hadir!” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Hantaran tersebut mendapat perhatian ramai termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menyambut baik kehadiran delegasi Pemuda Pas ke perhimpunan berkenaan.

“Jumpa esok brother,” balas Akmal menerusi ruangan komen hantaran tersebut.

Perkembangan itu dilihat sebagai satu lagi isyarat keterbukaan hubungan antara kedua-dua sayap pemuda parti, susulan kehadiran wakil Pemuda UMNO ke Muktamar Pas yang berlangsung minggu lalu.

Pemerhati politik berpendapat interaksi sedemikian berpotensi membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas mengenai kerjasama politik, khususnya dalam landskap politik Melayu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

'Hayat UMNO bukan pada PH, PN, Pas apatah lagi DAP' - Tok Mat



KUALA LUMPUR - Hayat UMNO tidak boleh disandarkan pada perhitungan atau kekuatan parti lain, bukan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas apatah lagi DAP.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO mesti berdikari dan membangunkan kekuatannya dengan cara serta strategi sendiri.

Menurut beliau, jika parti terlalu bergantung kepada kekuatan parti lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai tetapi ia bakal memudaratkan UMNO dalam jangka panjang.

"Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.

"Justeru, tanamlah dalam fikiran bahawa selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh daripada pemulihan.

"Kebergantungan kepada orang lain adalah formula politik yang tempang. UMNO mempunyai harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya," kata Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Bendahari Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selain itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Mohamad atau Tok Mat berpendapat bahawa UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim.

Atas dasar itu, beliau menegaskan kekuatan UMNO mesti dihimpunkan semula agar parti tidak perlu bergantung kepada pihak luar untuk keberlangsungan.

Ahli Parlimen Rembau itu memaklumkan, UMNO berada dalam mod bertahan hidup sejak lapan tahun lalu.

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk menghentikan segala tohmahan terhadap UMNO kerana baginya, parti itu tidak menikam dan mengkhianati mana-mana pihak.

"Kita hanya mengusahakan ikhtiar terbaik untuk keberlangsungan dan berfungsi sebagai sebuah parti dan perjuangan.

"UMNO tidak membenci atau memusuhi sesiapa. Kita hanya mahu UMNO bangun semula," ujarnya.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

UMNO kritik kenyataan PH pertikai kuasa pengampunan Agong



SHAH ALAM - UMNO mengkritik tindakan Majlis Sekretariat Pakatan Harapan (PH) kerana mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dan didakwa mempersoalkan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kuasa pengampunan YDPA adalah Hal yang termaktub jelas di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Jika PH boleh menyokong pengampunan yang diterima oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun beliau belum selesai menjalani hukuman penuh ketika itu, kenapa pula piawaian yang berbeza perlu dikenakan kepada pihak lain?” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, PH menegaskan mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya membabitkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman yang ditetapkan mahkamah.

Pendirian itu selari dengan prinsip reformasi institusi, tatakelola baik serta penolakan terhadap sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menjadi asas perjuangan gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut mendakwa UMNO tidak seperti PH kerana parti itu tidak berniat untuk mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan atau mendesak supaya sebarang keputusan tertentu dibuat.

“Sebarang keputusan dibuat melalui proses yang sah di sisi undang-undang perlu dihormati oleh semua pihak,” jelasnya.

Tambahnya, tindakan terbaharu PH itu secara tidak langsung telah mendedahkan 'wajah sebenar' gabungan berkenaan yang didakwa beberapa kali memperlekeh dan mempersoalkan institusi Raja-Raja Melayu demi kepentingan politik.

“Perkara ini jelas bertentangan dengan prinsip dan syarat dipersetujui bersama dalam perjanjian penubuhan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO kekal teguh dalam mempertahankan institusi YDPA serta menjunjung kuasa yang dimiliki oleh Seri Paduka Baginda.

“Sebarang cubaan untuk memberi tekanan terhadap institusi ini atau secara langsung mahupun tidak langsung menimbulkan persepsi negatif terhadapnya merupakan satu pengkhianatan terhadap Perlembagaan dan negara,” ujar beliau.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pas Perlis sambut saranan Sanusi, sedia ‘berubat sendiri’



ARAU - Pas Perlis menyambut baik saranan dan teguran Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya kemelut dalaman parti di negeri itu diselesaikan sendiri tanpa campur tangan pihak lain.

Yang Dipertua Pas Kawasan Arau, Solahudin Azmi berkata, saranan untuk ‘berubat sendiri’ itu dilihat sebagai peluang terbaik kepada kepimpinan Pas di negeri ini untuk kembali mengemudi parti secara berdikari.

Menurutnya, sudah tiba masanya Pas Perlis menyahut saranan berkenaan dengan kembali bergerak sendiri dan merencana gerak kerja politik berdasarkan kekuatan serta kesepakatan kepimpinan tempatan.

“Selepas lebih enam bulan berada di bawah pantauan Jawatankuasa Tadbir Sementara (JTS) yang diterajui Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, kita yakin seluruh saf kepimpinan negeri kini sudah cukup bersedia dan matang untuk menguruskan hal ehwal parti.

“Malah, kita juga bertuah berada di bawah kepimpinan Pesuruhjaya Pas Perlis, Ustaz Ahmad Ali yang lebih enam dekad menjadi ahli PAS. Sudah tentu pelbagai pengalaman beliau boleh kita manfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Muhammad Sanusi memberi peringatan kepada Pas Perlis supaya menghentikan sebarang pertelingkahan dalaman pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kelantan.

Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, teguran sama sudah diberikan pada tahun lalu, namun konflik dilihat semakin meruncing sehingga pucuk pimpinan pusat buntu mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, Pas Perlis perlu 'berubat sendiri' bagi mengatasi konflik dalaman parti di negeri itu.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar, Yussaine Yahya turut menyatakan kesediaan pihaknya untuk bergerak secara mandiri susulan kesepaduan yang didakwa sudah terjalin di peringkat akar umbi.

Menurutnya, Muhammad Sanusi mungkin tidak mengetahui perkembangan sebenar Pas Perlis berikutan jarang menghadiri mesyuarat pengurusan parti di negeri itu.

“Beliau hanya hadir sekali sahaja dalam mesyuarat, selepas itu tidak hadir. Mungkin kerana itu beliau tidak tahu perkembangan terkini, sedangkan hakikatnya kita di sini sudah lama bergerak bersama dalam satu keluarga.

“Majoriti kepimpinan dewan, ahli jawatankuasa dan ahli Pas Perlis keseluruhannya sudah pun memfokuskan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Hanya segelintir sahaja yang sengaja bermain isu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Perlis, Husna Hashim berkata, kepimpinan parti di peringkat negeri sentiasa akur dan menghormati setiap ketetapan yang digariskan pucuk pimpinan Pas.

Katanya, segala arahan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi termasuk keputusan menolak tawaran jawatan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perlis.

“Selain itu, kita juga akur menerima pelantikan tiga jawatan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Chuping, Bintong dan Guar Sanji,” jelasnya.


Sumber | Sinar Harian



 



 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PH berputih mata sekiranya penyatuan ummah terjadi di Melaka dan Selangor



SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor meramalkan gelombang Penyatuan Ummah berpotensi menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tewas di Melaka dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Ketua Pemudanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, naratif penyatuan ummah yang diketengahkan Pas pada Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kelantan dijangka terus diperkukuhkan menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Menurutnya, kerjasama antara Pas dan UMNO menerusi strategi itu berpotensi mewujudkan kuasa politik Melayu Islam yang lebih kukuh dan stabil khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) kerana kedua-dua parti mempunyai kelebihan tersendiri.

"Pas mempunyai kekuatan dari segi gerakan Islam dan sokongan pelbagai kelompok masyarakat, manakala UMNO pula mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran serta pembangunan negara.

"Jika Penyatuan Ummah ini berjaya diterjemahkan dalam PRN Melaka dan Selangor, Insya-ALLAH PH akan berputih mata di dua negeri ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Muhammad Faizzuddin memberitahu, Pas kini membawa agenda perjuangan lebih jauh menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051 yang dirangka sebagai hala tuju jangka panjang parti itu.

Katanya, tahun 2051 dipilih bersempena ulang tahun ke-100 penubuhan Pas dalam mengharungi pelbagai cabaran demokrasi di negara ini.

"WINS 2051 merangkumi aspek integriti, keadilan sosial, kestabilan, kemakmuran ekonomi, pengagihan kekayaan, penciptaan nilai ekonomi, pendidikan, kesihatan, kebajikan serta keharmonian masyarakat majmuk.

"Pada masa sama, negeri yang ditadbir turut membangunkan pelan jangka panjang dan sederhana bagi menjayakan agenda berkenaan seperti Kelantan Future State (KFS) 2033, The Greater Kedah (TGK) 2050 dan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030," ujar beliau.


Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Timbalan Ketua Bersatu bahagian Padang besar antara 20 pemimpin keluar parti



PADANG BESAR - Pucuk pimpinan Bersatu Bahagian Padang Besar bersama-sama 14 ketua cawangan daripada 24 cawangan di bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti serta-merta.

Pimpinan Bersatu Bahagian Padang Besar yang bertindak sedemikian terdiri daripada Timbalan Ketuanya Ramzi Md Udi, Naib Ketua Ramli Aripin, Pemangku Ketua Srikandi Fazuwin Razak, Ketua Srikandi Muda Nurul Hafiza Ramli serta dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Zulkefli Hassan dan Nazri Khamis.

Ramzi dalam sidang media di sini malam tadi, yang mewakili kesemua individu itu, berkata setelah membuat penelitian, mereka berpendapat bahawa mereka tidak lagi mempercayai kepimpinan pada peringkat pusat.

"Setelah meneliti dan berbincang secara mendalam bersama dengan rakan-rakan pimpinan termasuk 14 Ketua Cawangan daripada Bahagian Padang Besar, kami telah mencapai kata sepakat untuk meletakkan jawatan dan keluar daripada parti Bersatu dengan serta-merta,” katanya.

Beliau berkata demi masa depan politik lebih jelas dan kepentingan masyarakat, mereka memilih untuk bergerak ke hadapan dengan menyertai Parti Wawasan Negara di bawah pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Sumber | Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Harga petrol, diesel turun 5 sen bermula esok



SHAH ALAM - Harga runcit semua produk petroleum tanpa subsidi bagi tempoh 3 September hingga 9 September turun lima sen melibatkan RON97, RON95 serta diesel.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, harga RON97 ditetapkan pada RM4.25 seliter berbanding RM4.30, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.77 seliter berbanding RM3.82 dan diesel tanpa subsidi pula RM4.67 seliter berbanding RM4.72 sebelum ini.

Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95) dan RM2.10 seliter bagi diesel di bawah BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel).

"Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, bersamaan 47 peratus daripada harga tanpa subsidi.

"Penerima BUDI Diesel pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM2.57 seliter atau 55 peratus daripada harga tanpa subsidi.

"Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

 Dalam pada itu MOF menjelaskan, penurunan tersebut mencerminkan harga minyak mentah dunia yang diniagakan pada paras lebih rendah bagi sebahagian besar tempoh pengiraan harga Mekanisme Harga Automatik (APM).

Namun menurutnya, harga meningkat semula pada penghujung tempoh berikutan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

"Walaupun harga minyak mentah brent telah menyederhana daripada paras puncak konflik Asia Barat, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat berikutan gangguan aliran petroleum melalui Selat Hormuz, penyusutan kapasiti penapisan di beberapa negara serta sekatan eksport bahan api.

"Faktor-faktor ini dijangka terus menyebabkan turun naik harga dalam tempoh terdekat dan kerajaan akan terus melindungi rakyat serta perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global, termasuk mengekalkan subsidi bersasar BUDI Madani bagi pengguna layak," jelasnya.



Sumber | Sinar Harian

 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Ustaz Nik Abduh angkat sumpah Senator hari ini




KUALA LUMPUR
: Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua, di Parlimen, di sini hari ini.

Majlis berkenaan diadakan selaras Perkara 59(1) Perlembagaan Persekutuan serta Peraturan Mesyuarat 4(1) dan 4(3) Dewan Negara.

Majlis itu turut dilaksanakan mengikut Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan, sebelum Nik Mohamad Abduh dipersilakan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara.

Dalam lafaz sumpahnya, Nik Mohamad Abduh berikrar akan menunaikan kewajipan jawatan dengan jujur, mencurahkan taat setia kepada Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan.

“Setelah dipilih sebagai seorang Ahli Dewan Negara, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan jawatan itu dengan segala daya upaya saya.

“Bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya,” ujar beliau.

Pemilihan semula cerminkan kepercayaan

Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah memaklumkan, Senator Nik Abduh dipilih semula Dewan Undangan Negeri Kelantan mengikut Perkara 45(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi penggal kedua.

Tempoh penggal kedua itu berlangsung selama tiga tahun, berkuat kuasa mulai 7 Julai 2026 hingga 6 Julai 2029.

Awang Bemee menyifatkan pemilihan semula itu bukan sekadar penghormatan, malah mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kewibawaan, pengalaman serta keupayaan Senator berkenaan.

Menurutnya, pengalaman tersebut diharapkan terus dimanfaatkan bagi menyumbang kepada persidangan dan perjalanan institusi Parlimen Malaysia.

Beliau menjelaskan, majlis angkat sumpah bukan sekadar memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan dan peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

Sebaliknya, majlis itu jelasnya menjadi manifestasi kelangsungan institusi demokrasi berteraskan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta prinsip semak dan imbang pemerintahan.

Awang Bemee menegaskan sumpah yang dilafaz membawa amanah besar mempertahankan Perlembagaan, menjunjung kepentingan rakyat serta memastikan suara setiap negeri diberi tempat.

Pengalaman dan sumbangan kepada Dewan Negara

Beliau turut menyentuh latar belakang pendidikan luas serta pengalaman pelbagai yang dimiliki Nik Mohamad Abduh sebelum kembali berkhidmat sebagai pendidik dan pentadbir.

Katanya, Senator itu memulakan pendidikan di Kelantan sebelum melanjutkan pengajian ke luar negara, kemudian kembali berkhidmat sebagai pendidik serta pentadbir.

Selepas itu, Nik Mohamad Abduh berkecimpung dalam politik, berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen serta pernah mempengerusikan badan berkanun negeri Kelantan, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESDAR).

Awang Bemee turut mengingatkan Nik Mohamad Abduh pernah berkhidmat di Dewan Negara, dengan penggal pertama bermula pada 2023.

Beliau berkata, pengalaman sebagai wakil rakyat, pendidik dan pemimpin masyarakat dibawa bersama ke dalam perbahasan Dewan Negara.

Pandangan serta sumbangannya pula meliputi pelbagai isu berkaitan kehidupan rakyat, termasuk pembangunan luar bandar, kesejahteraan masyarakat dan pertanian.

Sumbangan itu turut merangkumi isu kelestarian alam sekitar, integriti, pentadbiran serta pengurusan kewangan negara sepanjang penglibatannya dalam persidangan Dewan.

Awang Bemee menggambarkan Nik Mohamad Abduh sebagai seorang yang tenang, sederhana dan berhemah ketika menyampaikan pandangan, namun tegas mempertahankan prinsip.

Beliau turut memuji bahasa Senator itu yang santun, menghormati institusi serta bersedia mendengar dan menilai pandangan berbeza.

Sikap berkenaan jelasnya, penting dalam membina budaya perbahasan matang, rasional dan bermaruah di Dewan Negara sebagai legislatif tertinggi negara.

Menurut Awang Bemee, perbezaan pandangan tidak sepatutnya mengatasi kesatuan dalam menjunjung amanah kepada rakyat dan negara.

Warisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Awang Bemee turut mengakui Nik Mohamad Abduh membawa nama besar serta warisan perjuangan ayahandanya, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Namun kata Awang, sepanjang perjalanan khidmatnya, Senator itu membentuk jalur pengabdian serta keperibadian sendiri berbekalkan ilmu, pengalaman dan kesederhanaan.

Beliau berkata, Nik Mohamad Abduh turut membina hubungan rapat dengan rakyat sepanjang perjalanan khidmatnya dalam masyarakat dan institusi politik.

Awang Bemee yakin Senator itu bukan sekadar mewarisi nama dan legasi, sebaliknya terus berusaha menghidupkan nilai amanah, keilmuan, integriti dan khidmat.

Beliau berharap penggal kedua memberi ruang serta kesempatan lebih luas kepada Nik Mohamad Abduh meneruskan segala usaha yang dimulakan sebelumnya.

Awang Bemee seterusnya berharap pengalaman yang dikumpulkan sepanjang penggal pertama terus dimanfaatkan bagi memperkukuhkan peranan Dewan Negara.

Beliau mahu pengalaman tersebut digunakan untuk membawa suara Kelantan, meneliti dasar serta perundangan negara dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen Parlimen Malaysia untuk terus memperkukuhkan institusi legislatif negara melalui usaha reformasi berkaitan autonomi Parlimen.

Beliau merujuk Akta Perkhidmatan Parlimen yang disertai Nik Mohamad Abduh dalam perbahasan, penggubalan dan kelulusannya pada 2025.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memperteguhkan prinsip pengasingan kuasa serta meningkatkan keberkesanan fungsi semak dan imbang Parlimen.

Awang Bemee berharap penguatkuasaan akta berkenaan dapat direalisasikan supaya hasrat memperkukuhkan autonomi dan kedudukan Parlimen diterjemahkan.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan peranan Parlimen sebagai salah satu institusi dalam sistem demokrasi negara dilaksanakan dengan lebih berkesan, bebas dan berwibawa.

Beliau menyimpulkan Parlimen yang kukuh akan mengukuhkan demokrasi, manakala demokrasi kukuh membawa kepada pemerintahan lebih bertanggungjawab serta berpaksikan kepentingan rakyat.

Doa untuk penggal kedua

Awang Bemee mengajak semua pihak mendoakan kesihatan, kekuatan, kebijaksanaan serta istiqamah Senator dan seluruh Ahli Dewan Negara.

Beliau berharap segala ilmu, pengalaman dan khidmat bakti Nik Mohamad Abduh sepanjang penggal kedua terus memberi manfaat kepada rakyat Kelantan.

Sumbangan itu juga diharapkan memberi manfaat kepada Dewan Negara, Parlimen, Malaysia dan negara tercinta seluruhnya sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Beliau mendoakan penggal kedua itu menjadi satu lagi lembaran khidmat yang penuh makna dan keberkatan kepada Senator berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/9/2026









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

‘Menteri Kewangan jangan sabotaj kerajaan sendiri’




KUALA LUMPUR
: Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri digesa memberi penjelasan terbuka berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri mengenai isu tunggakan bayaran kepada kontraktor di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan terbuka dibuat Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu amat mengejutkan dan menandakan isu berkenaan sudah berada pada tahap sangat serius sehingga terpaksa disuarakan tanpa berselindung.

“Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri wajib memberikan penjelasan terbuka. Inilah kali pertama rakyat menyaksikan bagaimana seorang Timbalan Perdana Menteri menyebut isu berkaitan tadbir urus khusus di bawah Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri tanpa berselindung lagi.

“Rakyat sedang menyaksikan drama ini dengan penuh bimbang. Adakah kerajaan sebenarnya sedang berkonflik sesama sendiri? Kenapa Menteri Kewangan memilih untuk menangguhkan bayaran tersebut?

“Ia sepatutnya diselesaikan segera ini khususnya apabila ia melibatkan kementerian yang paling dekat dengan rakyat luar bandar?” kata Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menggariskan dua kemungkinan utama berhubung situasi berkenaan yang disifatkannya sebagai sesuatu yang membimbangkan.

Pertama katanya, kerajaan sedang berdepan dengan masalah kewangan yang serius sehingga mengganggu aliran tunai (cash flow),  atau kedua, kerajaan sengaja menangguhkan bayaran sebagai satu bentuk ‘gangguan’.

Iaitu rujuk beliau, terhadap kementerian diketuai oleh Presiden Umno tersebut atas alasan yang semua pihak boleh membaca hal tersebut khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Justeru, beliau mendesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan agar tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan sendiri dan memfokuskan kepada kebajikan rakyat.

“Saya menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, jangan sabotaj kerajaan sendiri. Sekalipun Kerajaan Madani sudah berada di hujung tanduk, tetapi selagi mandat masih berbaki, pentadbiran negara perlu berjalan dengan sempurna demi kebaikan rakyat tanpa mengira warna bendera politik.

“Kecuali jikalau Kerajaan Madani sudah tiada minat lagi untuk mentadbir negara, serahkan kembali mandat kepada rakyat. Sebagaimana kata Perdana Menteri sendiri ketika berucap sebelum PRN Johor, ‘kita serahkan kembali mandat kepada rakyat!’

“Tetapi selepas beberapa bulan berlalu, nampaknya kehebatan ucapan itu hanya terhenti setakat mikrofon di atas pentas itu sahaja. Apa yang penting, selagi mandat masih ada, bekerjalah dengan penuh amanah.

“Semoga di tahun hadapan, YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih diberikan rezeki menyaksikan perarakan kemerdekaan, walau dari sudut mana sekalipun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo