NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wong Chen letak jawatan ahli Dewan Rakyat, kosongkan kerusi Subang



PETALING JAYA:
 Wong Chen meletakan jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi Parlimen Subang, berkuat kuasa hari ini jam 5 petang.

Wong mewakili rakyat Subang sejak 2018, mempertahankan kerusi itu sebagai calon PKR pada PRU 2018 dan 2022.

Wong mempamerkan surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, pada 5 Ogos lalu, di Facebook.

Katanya, jarak masa itu telah dipersetujui terlebih dahulu antara mereka, “bagi memberi tempoh tiga hari bekerja kepada pegawai Parlimen untuk membuat persiapan bagi kekosongan kerusi Parlimen Subang”.

Menurutnya, gelaran ‘Yang Berhormat’ pada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat akan digugurkan menjelang bulan depan.

Wong juga mengumumkan beliau akan mengadakan sidang media pada Rabu.

Wong turut berkongsi video memaparkan beliau memasukkan buku-buku dalam suatu kotak, beberapa minit sebelum pengumuman ini.

Sebelum ini, beliau menarik tumpuan apabila menghadiri majlis Parti Bersama Malaysia pada Mei, yang diambil alih bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.


Sumber | FMT Malaysia 







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PKR sangkal dakwaan Hassan, isu rasuah tak pernah dibangkit Izzah



SHAH ALAM:
 PKR menafikan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, bahawa keputusan Nurul Izzah Anwar melepaskan jawatan timbalan presiden berpunca rasa tidak puas hati terhadap pendekatan kerajaan dalam membanteras rasuah.

Naib Presiden PKR, Amirudin Shari, berkata perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nurul Izzah kepada pimpinan parti, termasuk dalam mesyuarat.

“Saya ambil rujuk kenyataan perdana menteri, presiden parti yang juga ayah kepada Nurul Izzah. Kalau Hassan Karim lebih faham daripada ayah Nurul Izzah, saya agak pelik.

“Beliau (Nurul Izzah) sendiri maklum akan terus bekerja untuk parti malah akan hadir kongres parti. Jadi telahan Hassan itu saya rasa kurang tepat,” katanya sambil menyifatkan ia pandangan peribadi pemimpin veteran itu.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tawaran Geran Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan Selangor 2026 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Amirudin berkata, dakwaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap usaha membanteras rasuah juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat parti.

“Perkara ini langsung tak ada dibangkitkan dalam mesyuarat parti, malah Hassan pun tak ada dalam mesyuarat, tiba-tiba keluar cerita macam itu,” katanya.

Semalam, Hassan dilaporkan mendakwa keputusan Nurul Izzah berkait rapat rasa tidak puas hati terhadap pendekatan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah.

PH sedia tembung BN di Melaka

Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) berkata gabungan itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN Melaka, termasuk bertembung Barisan Nasional (BN).

Beliau akan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pemimpin BN dalam tempoh sehari dua lagi bagi meneliti hala tuju kerjasama menghadapi pilihan raya itu.

“Saya akan bertemu dengan beberapa pimpinan (BN) dalam masa terdekat secara tak rasmi untuk mengetahui arah tuju ke depan. Tak ada lagi pertemuan, tetapi saya akan adakan perbincangan secara tidak rasmi dalam satu atau dua hari untuk melihat respons dan maklum balas,” katanya.

Mengulas pendirian Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang dilihat kurang menyambut kemungkinan kerjasama itu, Amirudin berkata PH mengambil kira pandangan kepimpinan BN, termasuk keterbukaan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.

“Tapi terpulang. Kita tak ada masalah untuk hadapi situasi seperti sebelum ini. Kalau ada keperluan berbincang, kita berbincang. Ada keperluan untuk bertembung (BN), kita bertembung,” katanya.

Menurutnya, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek kebolehmenangan selain kepentingan rakyat.

“Kita nak tengok apa yang berlaku. Ada orang marah kalau kita bincang, ada juga orang marah kalau kita tak bincang. Jadi saya jumpa dia dulu. Namanya bukan perbincangan, ia adalah pertemuan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rauf yang juga pengerusi BN Melaka berkata pihaknya sedia membuka pintu rundingan secara rasmi kepada pihak berhasrat membentuk kerjasama, namun ruang itu tidak memberi sebarang jaminan automatik.


Sumber | FMT Malaysia











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Rauf diberi kuasa penuh runding kerjasama PRN Melaka, kata Zahid



GERIK:
 Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh diberikan kuasa penuh untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan mana-mana gabungan parti bagi menghadapi PRN Melaka akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi yang menegaskan perkara itu, turut berharap rundingan tersebut tidak berlangsung dalam situasi rumit.

“Perbincangan yang selalunya rumit adalah mengenai pembahagian kerusi. Bincang baik-baik, tidak ada masalah yang tidak boleh dirungkaikan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Air Banun, di sini hari ini.

Zahid yang juga presiden Umno berkata keputusan yang dibuat dalam perbincangan itu akan disampaikan kepada pucuk kepimpinan tertinggi Umno sebelum dibawa kepada Dewan Tertinggi BN untuk dimuktamadkan.

Semalam, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil berkata PH menyambut baik keterbukaan BN berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka akan datang, dan menyifatkannya sebagai peluang yang wajar diteliti.

Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar juga berkata PN terbuka dan bersedia mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Pada Sabtu, Zahid berkata gabungan itu masih membuka ruang rundingan berhubung pengagihan, malah pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka, asalkan dilakukan secara jujur dan ikhlas serta tidak menjejaskan jumlah kerusi parti masing-masing.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PN cadang sidang khas RCI TH ditangguh sehingga PM pulih



KUALA LUMPUR:
 Perikatan Nasional (PN) mencadangkan sidang khas Parlimen bagi membentangkan laporan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji yang dijadualkan esok ditangguhkan ke tarikh sesuai sehingga Perdana Menteri Anwar Ibrahim pulih dan dapat hadir ke Dewan Rakyat.

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata pembentangan laporan berkenaan wajar dibuat sendiri oleh Anwar memandangkan beliau pernah membangkitkan isu tersebut kepada pengetahuan umum.

“Memandangkan isu Tabung Haji merupakan perkara yang sangat penting dan melibatkan kepentingan awam, PN berpandangan bahawa adalah amat wajar sekiranya pembentangan laporan ini dibuat sendiri oleh perdana menteri,” menurut kenyataan.

Takiyuddin berkata kehadiran Anwar di Dewan Rakyat untuk membentangkan dan memberikan penjelasan berhubung laporan RCI itu amat signifikan.

“Ia bukan sahaja penting dari sudut ketelusan dan akauntabiliti, malah wajar bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan yang menyeluruh dan komprehensif mengenai perkara yang pernah dibangkitkan oleh perdana menteri sendiri sebelum ini.”

Menurut Takiyuddin, PN menghantar surat rasmi kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, bagi memohon penangguhan. Surat itu diterima secara rasmi oleh pejabat speaker hari ini, katanya.

PN juga mendoakan Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dikurniakan kesembuhan segera supaya dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa.

Sidang esok diadakan bagi memberi ruang kepada Ahli Parlimen membahaskan dapatan RCI berkaitan pengurusan dan tadbir urus TH.


Sumber | FMT Malaysia






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Mahkamah kembalikan konsesi Menara KL sebagai defendan saman RM1 bilion



PETALING JAYA:
 Mahkamah Rayuan mengembalikan LSH Service Master Sdn Bhd dan dua syarikat induknya sebagai defendan dalam saman RM1 bilion yang difailkan bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd dan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Azhahari Kamal Ramli sebulat suara memutuskan bahawa LSH Service Master serta pemegang sahamnya, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd, tidak sepatutnya dikeluarkan daripada saman tersebut oleh Mahkamah Tinggi.

Panel itu turut membenarkan Hydroshoppe dan Menara KL meminda pernyataan tuntutan mereka, selain menolak hujah bahawa pindaan tersebut merupakan langkah taktikal, lapor The Edge

Mahkamah mendapati pindaan itu dibuat pada peringkat awal prosiding dan dengan niat baik, tanpa bukti wujudnya niat tidak baik.

Tiga syarikat tersebut diarahkan membayar RM30,000 kos kepada Hydroshoppe dan Menara KL, manakala kerajaan dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil diarahkan membayar RM15,000.

Hydroshoppe dan Menara KL memfailkan saman itu tahun lalu bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa konsesi LSH Service Master untuk mengendalikan Menara KL adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Mereka turut menuntut kira-kira RM1 bilion sebagai ganti rugi serta pemulangan konsesi tersebut.

Saman itu turut menamakan kerajaan dan Fahmi sebagai defendan.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi membenarkan saman diteruskan terhadap kerajaan dan Fahmi tetapi menggugurkan tuntutan terhadap LSH Service Master, LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master (M) Sdn Bhd.

LSH Service Master mengambil alih pengurusan Menara KL pada April 2025.

Menurut pemfailan LSH Capital di Bursa Malaysia, perbicaraan dijadualkan berlangsung dari 28 Jun hingga 2 Julai 2027.

LSH Service Master dan LSH Best Builders merupakan anak syarikat LSH Capital.


Sumber | FMT Malaysia








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo