Naib Presiden PKR, Amirudin Shari, berkata perkara itu tidak pernah dibangkitkan Nurul Izzah kepada pimpinan parti, termasuk dalam mesyuarat.
“Saya ambil rujuk kenyataan perdana menteri, presiden parti yang juga ayah kepada Nurul Izzah. Kalau Hassan Karim lebih faham daripada ayah Nurul Izzah, saya agak pelik.
“Beliau (Nurul Izzah) sendiri maklum akan terus bekerja untuk parti malah akan hadir kongres parti. Jadi telahan Hassan itu saya rasa kurang tepat,” katanya sambil menyifatkan ia pandangan peribadi pemimpin veteran itu.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tawaran Geran Penyelidikan dan Inovasi Pembangunan Selangor 2026 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Amirudin berkata, dakwaan berhubung rasa tidak puas hati terhadap usaha membanteras rasuah juga tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat parti.
“Perkara ini langsung tak ada dibangkitkan dalam mesyuarat parti, malah Hassan pun tak ada dalam mesyuarat, tiba-tiba keluar cerita macam itu,” katanya.
Semalam, Hassan dilaporkan mendakwa keputusan Nurul Izzah berkait rapat rasa tidak puas hati terhadap pendekatan kerajaan dalam usaha membanteras rasuah.
PH sedia tembung BN di Melaka
Dalam perkembangan lain, Amirudin yang juga pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) berkata gabungan itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN Melaka, termasuk bertembung Barisan Nasional (BN).
Beliau akan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan beberapa pemimpin BN dalam tempoh sehari dua lagi bagi meneliti hala tuju kerjasama menghadapi pilihan raya itu.
“Saya akan bertemu dengan beberapa pimpinan (BN) dalam masa terdekat secara tak rasmi untuk mengetahui arah tuju ke depan. Tak ada lagi pertemuan, tetapi saya akan adakan perbincangan secara tidak rasmi dalam satu atau dua hari untuk melihat respons dan maklum balas,” katanya.
Mengulas pendirian Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang dilihat kurang menyambut kemungkinan kerjasama itu, Amirudin berkata PH mengambil kira pandangan kepimpinan BN, termasuk keterbukaan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
“Tapi terpulang. Kita tak ada masalah untuk hadapi situasi seperti sebelum ini. Kalau ada keperluan berbincang, kita berbincang. Ada keperluan untuk bertembung (BN), kita bertembung,” katanya.
Menurutnya, sebarang keputusan perlu mengambil kira aspek kebolehmenangan selain kepentingan rakyat.
“Kita nak tengok apa yang berlaku. Ada orang marah kalau kita bincang, ada juga orang marah kalau kita tak bincang. Jadi saya jumpa dia dulu. Namanya bukan perbincangan, ia adalah pertemuan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Rauf yang juga pengerusi BN Melaka berkata pihaknya sedia membuka pintu rundingan secara rasmi kepada pihak berhasrat membentuk kerjasama, namun ruang itu tidak memberi sebarang jaminan automatik.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


Zahid & mathasan lebih pd pkr... km melaka tu anak buah mereka.
ReplyDelete