KUALA LUMPUR, 16 November – Pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 disifatkan sebagai tindakan mengejutkan dan tidak munasabah oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berkata, perbezaan ketara antara kadar premium asal dengan jumlah baharu sukar diterima dan berpotensi mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kadar premium asal sebanyak RM4.67 juta sudah tentu ditetapkan berdasarkan asas serta pertimbangan yang konkrit, meskipun bangunan KLSCAH telah diwartakan sebagai tapak warisan pada 2007.
Beliau turut mempersoalkan keputusan pengurangan tersebut yang dibuat tidak lama selepas berlakunya perubahan kepimpinan dalam portfolio berkenaan.
Pada 14 November lalu, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium nominal RM1,000 berbanding anggaran terdahulu kira-kira RM4.67 juta.
Keputusan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pada majlis makan malam ulang tahun KLSCAH ke-103.
Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan sebelum itu meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah berkenaan bagi kegunaan institusi pada 14 September lalu.
Dalam pada itu, Teo turut membangkitkan persoalan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam majlis pengumuman berkenaan. Katanya, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sewajarnya diberikan keutamaan dalam acara rasmi kerajaan.
Bagaimanapun, Hannah menjelaskan bahawa pengurangan premium itu mengambil kira perubahan status tanah daripada komersial kepada institusi, selain sekatan terhadap pembangunan komersial seperti kondominium dan pusat beli-belah.
Beliau berkata, pertubuhan itu turut memohon pertimbangan khas berdasarkan status bangunan sebagai warisan serta sifatnya yang bukan berasaskan keuntungan.
Teo bagaimanapun berpendapat keputusan pengurangan premium berkenaan perlu diberikan perhatian kerana, menurutnya, ia berpotensi mencetuskan polemik dan menjejaskan keharmonian sosial negara.

No comments
Post a Comment