NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lelaki Kes Pijak Al-Quran Dipenjara 12 Bulan, Didenda RM250,000

KUANTAN, 13 November – Seorang lelaki berusia 21 tahun yang tular selepas memijak al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial dijatuhi hukuman penjara 12 bulan serta denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman terhadap S. Vikneswaran, bekas pelajar sebuah universiti, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dihukum penjara 12 bulan kerana mencemarkan al-Quran, iaitu objek yang dianggap suci oleh umat Islam, dengan niat mengaibkan agama berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada 22 Februari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Mahkota Aman, Kuantan.

Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didenda RM250,000 selepas mengaku bersalah membuat hantaran komunikasi jelik melampau menerusi akaun Threads miliknya dengan niat menyakiti hati orang lain.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hakim berkata, hukuman itu bukan sahaja bertujuan memberi pengajaran kepada tertuduh, malah menjadi peringatan kepada masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan sama.

Peguam yang mewakili tertuduh, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman, memohon supaya pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan difailkan. Permohonan itu dibuat atas alasan tertuduh mempunyai beberapa janji temu bagi mendapatkan rawatan psikiatri.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohd Sabri Othman, membantah permohonan tersebut kerana berpendapat tiada keadaan khas yang membolehkan penangguhan diberikan.

Mahkamah tidak membenarkan permohonan berkenaan dan tertuduh mula menjalani hukuman penjara pada 12 November.

Kes itu mula dikesan selepas bapa tertuduh dimaklumkan oleh anak perempuannya mengenai video perbuatan tersebut yang tular di aplikasi Threads pada 24 Februari lalu.

Hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan selepas tertuduh tidak berpuas hati apabila menerima kritikan menggunakan bahasa kesat daripada pengguna media sosial lain.

Tertuduh kemudian ditangkap pada 25 Februari, manakala telefon bimbit dan senaskhah al-Quran turut dirampas bagi membantu siasatan.

Analisis media sosial serta laporan syarikat telekomunikasi mengesahkan akaun dan nombor telefon yang digunakan mempunyai kaitan dengan tertuduh. - 1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo