KUALA LUMPUR, 16 November – Persidangan Dewan Rakyat petang ini kecoh apabila Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyampaikan pantun berunsur sindiran ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, berhubung isu penghapusan tol.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, terdapat beberapa janji politik yang masih belum ditunaikan, termasuk berkaitan penghapusan tol.
Beliau turut menyentuh pengiraan kos penghapusan tol yang pernah dibuat bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, sebelum menyampaikan pantun yang mengundang reaksi dalam Dewan.
“Jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, kalau tuan tak nak kena kencing, sokong Barisan dan Perikatan,” katanya.
Pantun itu mencetuskan bantahan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mempersoalkan sama ada Ahmad memberikan jawapan dalam kapasiti sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya atau pemimpin UMNO.
Rayer menegaskan Ahmad sepatutnya memberikan penjelasan berhubung urusan kerajaan dan bukannya menyampaikan sindiran politik terhadap pemimpin serta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut meminta Ahmad menarik balik penggunaan perkataan berkenaan dan memohon maaf kepada Ahli Parlimen PH.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor kemudian mengingatkan Ahmad supaya menarik balik perkataan berkenaan kerana dianggap tidak sesuai digunakan dalam persidangan.
Ahmad akhirnya akur dan menarik balik perkataan 'kencing' dalam pantun tersebut, namun menafikan beliau menyebut nama Pakatan Harapan ketika menyampaikan sindiran berkenaan.
Insiden itu mencetuskan perbahasan mengenai batas penggunaan bahasa dan amalan berpolitik ketika Ahli Parlimen menjalankan tugas rasmi di Dewan Rakyat.

No comments
Post a Comment