MELAKA, 10 November 2026 – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan pembubaran Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat merupakan pilihan lebih baik berbanding melakukan rombakan Kabinet ketika ini.
Presiden UMNO itu berkata beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk menyusun semula barisan Jemaah Menteri, meskipun terdapat kemungkinan kekosongan jawatan susulan perkembangan membabitkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“ Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet.
“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen dibubarkan. Itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah kerajaan baharu selepas itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka 2026 di Tanjung Kling, hari ini.
Kenyataan Ahmad Zahid itu hadir ketika Kerajaan Perpaduan berdepan kemungkinan perubahan komposisi Kabinet susulan pendirian Anthony Loke untuk melepaskan jawatan Menteri Pengangkutan apabila Datuk Seri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
Selain itu, kedudukan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut menjadi perhatian apabila tempoh pelantikannya sebagai Ahli Dewan Negara dijadualkan berakhir pada 11 Disember ini.
Perkembangan berkenaan mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet bagi mengisi kekosongan atau menyusun semula portfolio kementerian.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyatakan masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet.
Cadangan Ahmad Zahid supaya Parlimen dibubarkan bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat dilihat sebagai satu kenyataan politik penting dalam landskap Kerajaan Perpaduan, khususnya ketika tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada semakin menghampiri fasa akhir penggal.
Sekiranya pilihan raya umum diadakan, rakyat sekali lagi berpeluang menentukan komposisi kerajaan dan kepimpinan negara bagi penggal seterusnya. - 1Media.my

No comments
Post a Comment