NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Yakob Dilantik Mursyidul Am PAS Gantikan Hashim Jasin

KOTA BHARU, 17 November – Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang baharu bagi penggal 2026 hingga 2030, menggantikan Datuk Hashim Jasin yang tamat tempoh pelantikannya pada Oktober lalu.

Pelantikan itu diputuskan dalam persidangan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS dan disahkan oleh Ahli Jawatankuasa MSU PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, jawatan Timbalan Mursyidul Am PAS disandang oleh Datuk Dr Mahfuz Mohammad.

Ahmad turut melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit, Mohd Asri Mat Daud sebagai Setiausaha MSU yang baharu.

Nik Muhammad Zawawi berkata, MSU PAS merakamkan ucapan tahniah kepada semua individu yang diberikan amanah dalam kepimpinan baharu itu.

Beliau turut mendoakan agar Allah SWT memberikan pertolongan dan kekuatan kepada barisan kepimpinan berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab perjuangan.

Untuk rekod, Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am PAS pada 9 Oktober 2016 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo