NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

6,294 Rohingya dalam tahanan imigresen setakat Oktober – KDN



BANGI, 7 JAMADILAKHIR – Seramai 6,294 etnik Rohingya direkodkan berada dalam tahanan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh negara setakat 31 Oktober lalu, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,208 warga Myanmar yang berada dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada tarikh berkenaan.

KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen turut memaklumkan seramai 12,176 warga Myanmar telah dihantar pulang ke negara asal sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini.

Daripada jumlah itu, seramai 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang pada 29 September lalu menerusi operasi berskala besar menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.

Bagaimanapun, KDN menjelaskan rekod penghantaran pulang tersebut dibuat berdasarkan kewarganegaraan yang disahkan oleh negara asal dan bukannya mengikut pecahan etnik Rohingya.

Ini bermakna angka 12,176 itu merujuk kepada warga Myanmar secara keseluruhan, bukan semuanya etnik Rohingya.

Perkara tersebut dimaklumkan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengenai jumlah Rohingya di Malaysia, bilangan yang dihantar pulang ke Myanmar tahun ini serta pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan mereka sekiranya kembali ke negara asal.

Menurut KDN, berdasarkan rekod Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), seramai 133,400 etnik Rohingya berdaftar sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia setakat 30 September lalu.

Sementara itu, KDN menjelaskan proses penghantaran pulang warga asing, khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah, memerlukan kerjasama kerajaan negara asal.

Kerjasama tersebut penting bagi mengesahkan identiti dan kewarganegaraan tahanan sebelum dokumen perjalanan dikeluarkan bagi membolehkan mereka dihantar pulang.

Sehubungan itu, KDN terus bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk mempercepat rundingan serta penyelarasan dengan kerajaan Myanmar.

Usaha berkenaan melibatkan proses pengesahan kewarganegaraan, penyediaan dokumen perjalanan dan penerimaan semula warga Myanmar oleh negara asal.

Dalam perkembangan berkaitan, KDN turut mendedahkan bahawa antara kaedah kemasukan etnik Rohingya secara tidak sah ke Malaysia adalah melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

Kemasukan itu turut melibatkan rangkaian sindiket penyeludupan migran serantau yang mengatur perjalanan dari Myanmar atau Bangladesh, termasuk melalui negara transit sebelum memasuki Malaysia.

“Laluan dan kaedah kemasukan seseorang individu hanya dapat dipastikan melalui siasatan serta semakan rekod pihak berkuasa,” menurut KDN. 


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo