NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersihkan kuil: Di mana batas toleransi dan akidah?



BANGI, 7 JAMADILAWAL — Penglibatan umat Islam dalam aktiviti membersihkan kuil perlu dinilai berdasarkan tujuan program dan kaitannya dengan fungsi keagamaan kuil.

Penyelidik Muafakat Ilmuwan Islam Malaysia (MUIS), Ustaz Wan Muhammad Fitri Wan Adnan, berkata umat Islam tidak sepatutnya menyertai program membersihkan kuil secara langsung apabila program itu merupakan khidmat kepada ruang ibadat atau persediaan bagi ritual agama lain.

Menurutnya, perbezaan perlu dibuat antara hubungan kemasyarakatan dengan bantuan terhadap tempat dan aktiviti yang berfungsi untuk menegakkan syiar agama selain Islam.

“Kerjasama tidak boleh dinilai berdasarkan niat baik atau manfaat sosial semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira perkara yang dibantu, tujuan program dan hubungan aktiviti pembersihan itu dengan fungsi keagamaan kuil,” katanya.

Wan Muhammad Fitri merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat kedua, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

Beliau menerangkan bahawa jika sesuatu aktiviti sekadar membersihkan jalan awam, mengutip sampah di kawasan kejiranan atau membantu mangsa bencana tanpa penglibatan dalam urusan ibadat, penilaiannya berbeza.

Sebaliknya, katanya jika program itu secara khusus bertujuan membersihkan ruang ibadat kuil, menyediakan tempat untuk upacara keagamaan atau menjadi sebahagian daripada persiapan ritual, persoalannya tidak lagi sama dengan gotong-royong biasa.

“Penglibatan sedemikian perlu diteliti dengan lebih ketat kerana berpotensi menjadi bantuan langsung kepada fungsi dan pelaksanaan syiar agama berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa ketegasan dalam menjaga akidah tidak wajar diperluas sehingga setiap bentuk bantuan kepada bukan Islam dianggap sebagai wala’ yang terlarang.

Beliau merujuk firman Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah, ayat kelapan, yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi kamu kerana agama.”

Katanya, perbezaan akidah tidak menghapuskan kewajipan berlaku adil dan ruang untuk berbuat baik kepada bukan Islam.

“Umat Islam tetap boleh membantu jiran bukan Islam, bekerjasama dalam urusan kemasyarakatan yang dibenarkan, menjaga kebersihan kawasan bersama dan menunaikan hak sesama manusia. Semua itu tidak secara automatik bermaksud meredai akidah mereka,” katanya.

Wan Muhammad Fitri turut merujuk hadis Rasulullah SAW yang membenarkan Asma’ binti Abi Bakr RA menyambung hubungan dengan ibunya yang masih musyrik.

Menurutnya, hadis itu menunjukkan bahawa berlepas diri daripada syirik tidak bererti memutuskan semua hubungan kemanusiaan dengan penganut agama lain.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa hadis berkenaan membicarakan hubungan kekeluargaan, bukan hukum khusus membantu tempat ibadat agama lain.

Sehubungan itu, katanya hadis itu tidak boleh dijadikan dalil tunggal untuk mengharuskan setiap bentuk penglibatan dalam program keagamaan mereka.

Beliau menyimpulkan bahawa isu membersihkan kuil perlu dilihat melalui dua prinsip yang berjalan serentak, iaitu keteguhan terhadap akidah dan keadilan terhadap manusia.

“Toleransi bukan bererti semua batas agama dihapuskan, dan al-wala’ wa al-bara’ bukan alasan untuk menolak semua bentuk kebaikan kepada bukan Islam,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo