NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Cakap pasal rasuah, hebat bukan main, tapi bab mungkar lain kenapa senyap?



BANGI, 7 JAMADILAWAL — KETIKA akad nikah, beradab sopan sungguh, macam isteri solehah. Apabila buat kenduri kahwin, tudung entah ke mana, aurat entah ke mana. Perkara yang sepatutnya jadi makruf bertukar jadi mungkar. Peliknya, kenapa tidak ada yang menegur, malah seronok tengok majlis tersebut?

Pemahaman cetek pemimpin Islam sebegini tentang Islam akan merosakkan imej Islam.

Agama Islam dilihat seolah-olah agama dua alam. Alam baik dan alam jahat. Masa nak akad nikah, ikut cara Islam, selepas itu, Islam entah ke mana. Begitu juga masa mati, bukan main lagi ikut cara Islam. Masa hidup, tidak pula. Sedangkan, bagi mereka yang faham Islam, dengan masuknya kita dalam Islam atau menjadi Islam, selamanya kita kena jadi baik. Malangnya, itu tidak berlaku.

Agama Islam tidak dilihat sebagai satu cara hidup, tetapi lebih kepada melihat keadaan tertentu. Ada hari tertentu jadi baik, ada hari lain jadi sebaliknya.

Bak kata Anas Aziz dalam komentarnya di laman FB saya, bercakap tentang pasangan yang menjejaki alam perkahwinan. Masa nikah tutup bukan main, keluar daripada majlis nikah, jadi lain.

“Seandainya mereka tahu, betapa hinanya kedudukan wanita sebelum kedatangan Islam…dan seandainya mereka tahu,betapa payahnya Rasulullah SAW berjuang demi menaikkan darjat kaum wanita, pasti mereka akan hargai setiap nilai aurat dan martabat kaum wanita yang telah bermatian Rasulullah pertahankan.”

Islam adalah cara hidup atau way of life. Kehidupan ini adalah di bawah naungan Islam, tidak kira apa jua aktiviti kita seharian, termasuk masuk ke tandas, buang air, berkeluarga, bekerja mencari rezeki halal. Itu semua di bawah cara hidup Islam. Islam bukan setakat agama yang bersifat ritual semata-mata seperti agama lain. Islam lebih daripada itu. Islam itu, ad-deen, satu cara hidup.

Dewasa ini, sudah jadi satu trend. Hari ini lain, esok jadi lain. Dalam kata lain, hari ini jadi baik, esok boleh jadi jahat. Hari ini jadi mujahid, esok jadi mujahat. Lagi teruk, bila letak nama Mujahid, tetapi akhlak tidak melambangkan mujahid, sebaliknya mujahat.

Rasa berdosa, pergi umrah (haji), berpakaian sopan, balik umrah (haji), balik asal. Malah, ada jadi lebih teruk daripada itu. Rasa berdosa, buat umrah untuk cuci dosa, mahu jadi bersih seperti bayi yang baru lahir. Selang beberapa hari kemudian, kembali asal.

Kalau begitulah Islam, syurga nanti akan dipenuhi oleh orang kaya, para pembesar dan menteri, kerana mereka ada banyak duit. Mereka boleh buat umrah dan haji selalu, untuk pergi cuci dosa dan kembali fitrah. Malanglah jadi orang miskin kerana tidak dapat pergi ‘cuci dosa’.

Jumaat jadi baik, sebab pahala berganda, seperti mana bulan puasa, banyak bersedekah. Masuk Syawal, semuanya jadi hancur.

Bila nak kahwin, cari tok kadi, bukan main sopan berpakaian. Tutup aurat. Keluar daripada pejabat kadi, tudung terbang semula.

Tiba masa akad nikah, bertudung kembali sebab ada wali atau tok kadi. Bila tiba masa meraikan pernikahan, kenduri kahwin, persandingan, tudung terbang semula.

Sepatutnya si suami memainkan peranan. Ini tidak, suami sama sahaja. Cakap pasal rasuah bukan main hebat, tetapi bila kahwin, jadi lain. Sepatutnya, cakap rasuah hebat, kahwin pun kena hebat. Ikut cara Islam.

Islam bukan setakat menentang rasuah. Rasuah adalah salah satu mungkar dalam Islam. Banyak mungkar lain yang mesti ditentang.

Termasuk mungkar, buka aurat ketika kenduri kahwin dan bersanding. Hipokrasi seperti ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan merosakkan Islam.

Peliknya, saya tidak pernah dengar tok kadi tegur perkara ini dalam khutbah nikahnya.

Adakalanya, kini, jadi trend, bapa pengantin perempuan memberikan khutbah. Saranan saya, tegurlah pengantin itu supaya mengamalkan cara hidup Islam.

Jangan sekadar bercakap, kamu lepas anak perempuan kamu kepada si pulan dan si pulan. Pesan juga kepada menantu kamu supaya bimbing anak kamu ke jalan yang benar, ikut cara hidup Islam. Lepas akad, buat kenduri, ikut cara hidup Islam.

Apa iktibar di sebalik penceritaan ini? Negara memerlukan pemimpin yang memahami Islam dan mempunyai jati diri untuk memimpin negara ini. Kuat menentang rasuah, menentang sakau, tidak cukup, walaupun tidak dinafikan tindakan tersebut adalah tindakan mulia. Ada amar makruf, mesti diikuti dengan nahi mungkar. Ramai yang bercakap pasal makruf, tapi menentang mungkar tidak ramai. Di sinilah kelemahan pemimpin negara kita.

Kadangkala kita lihat, ada pemimpin negara kita yang hari ini bersama dalam majlis ulama, tetapi esok bersama dalam majlis tari-menari.

Untuk menjadi pemimpin, terutama pemimpin tertinggi negara, mesti faham Islam sebagai cara hidup dan mempunyai jati diri. Mesti ada sifat istiqamah, iaitu tetap pendirian. Hari ini baik, esok mesti jadi lebih baik. Pemimpin tidak boleh jadi macam yoyo. Hari ini jadi baik, esok jadi tak baik. Islam bukan sebegitu sifatnya. Malah, tindakan sedemikian akan merosakkan imej Islam.

Justeru, kepada khalayak di luar sana, iaitu rakyat, nilaikanlah pemimpin yang kita pilih hari ini dengan baik. Pastikan kita tidak tersalah pilih lagi. Pilihlah pemimpin yang beramal dengan cara hidup Islam dan berjati diri, serta beristiqamah.

Jangan hanya bercakap pasal rasuah, pasal sakau, yang orang lain buat, tetapi bila kena kepada batang hidung sendiri atau kumpulan sendiri, rasuah dan sakau jadi hilang entah ke mana. Kena istiqamah.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi TV Pertiwi.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo