Menurut laporan MyOBI 2026, Terengganu dan Selangor terus menerajui indeks ketelusan tersebut apabila melakukan penambahbaikan beransur-ansur terhadap maklumat yang boleh dicapai oleh orang awam serta membuktikan ‘tadbir urus baik dan reformasi mampu dicapai walaupun dalam konteks ekonomi dan politik yang cukup berbeza’.
Laporan itu menyebut Terengganu, Selangor, Perak, dan Negeri Sembilan membuat ‘pendedahan penting’ bagi dokumen utama belanjawan negeri.
“Empat negeri berkenaan menyediakan maklumat yang agak menyeluruh mengenai anggaran hasil dan perbelanjaan negeri untuk capaian awam.
“Terengganu, Selangor, dan Negeri Sembilan menyediakan perincian perbelanjaan pembangunan mengikut klasifikasi fungsi, manakala Terengganu mendedahkan perbelanjaan secara sangat terperinci, termasuk peruntukan di peringkat program.
“Semua empat negeri itu juga menerbitkan anggaran terperinci bagi hasil negeri. Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang menerbitkan belanjawan diluluskan 2026 dalam tempoh penilaian,” kata IDEAS dalam laporan.
Namun, badan pemikir itu memberi peringatan ‘pendedahan penting’ tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai ketelusan lengkap, sambil menyatakan tiada negeri yang menerbitkan set lengkap dokumen belanjawan penting secara tepat pada waktu, manakala undang-undang perbekalan, belanjawan diluluskan, dan laporan akhir tahun kekal ‘amat sukar dicapai’.
IDEAS turut menekankan sembilan negeri sudah meningkatkan ketersediaan maklumat belanjawan kepada orang awam sejak penilaian terdahulu, dengan Pahang mencatatkan peningkatan terbesar.
Selangor menduduki tempat teratas dalam penilaian IDEAS bagi pengawasan badan perundangan – iaitu sejauh mana DUN boleh meneliti, membahas, dan mengawasi belanjawan negeri – diikuti Pulau Pinang dan Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari, berkata semua negeri masih perlu menambah baik ketelusan dan kebertanggungjawaban belanjawan.
“Penerbitan maklumat belanjawan secara tepat pada waktunya, pengawasan badan perundangan yang lebih kukuh, dan penyertaan awam yang bermakna sangat penting bagi membina ketelusan dan kebertanggungjawaban lebih tinggi dalam pembentukan belanjawan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment