ALOR SETAR - UMNO Kedah mempersoalkan keputusan kerajaan mengumumkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebelum kerangka perundangan baharu yang bakal menggantikannya diperincikan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keputusan sebesar itu perlu dibuat menerusi penelitian dan perbincangan sewajarnya, bukannya diumumkan di pentas politik semata-mata.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan terlebih dahulu kerangka pengganti AUKU termasuk implikasinya terhadap sistem pendidikan tinggi negara.
"Jangan kerana mahu mengejar 'political mileage', kerajaan membudayakan pendekatan umum dahulu, fikir kemudian.
"Jika AUKU mahu digantikan, jelaskan kerangka penggantinya dan implikasinya terhadap universiti terlebih dahulu. Pendidikan tinggi negara bukan bahan eksperimen politik," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Sabtu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, biarpun beberapa pindaan terhadap AUKU telah dibuat sebelum ini, masih terdapat perkara yang belum memuaskan mahasiswa.
Shaiful Hazizy berkata, UMNO Kedah tidak menolak usaha melakukan reformasi terhadap sistem pendidikan tinggi, namun langkah itu perlu dilaksanakan secara terancang dan tidak dibuat secara sambil lewa.
Katanya, kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini menjelaskan Kementeriannya telah merancang kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif menerusi agenda One Higher Education Act di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
"Persoalannya, adakah keputusan sebesar ini telah melalui penelitian dan perbincangan sewajarnya, atau sekadar pengumuman politik untuk mendapatkan tepukan di pentas parti?" ujarnya.
Beliau berkata, AUKU bukan semata-mata berkaitan kebebasan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti negara.
Menurutnya, peruntukan berkaitan mahasiswa dalam AUKU juga telah beberapa kali dipinda, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk bersuara dan berpolitik.
"Sebarang pemansuhan tanpa kerangka pengganti yang jelas boleh menimbulkan persoalan dan ketidaktentuan terhadap keseluruhan sistem pendidikan tinggi," katanya.
Dalam pada itu, Shaiful Hazizy yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, reformasi pendidikan tinggi tidak seharusnya dibuat secara tergesa-gesa hanya kerana mahu mendapatkan sokongan politik.
Menurutnya, dasar pendidikan tinggi negara perlu dipelihara daripada sebarang keputusan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan terhadap tadbir urus universiti.
"Apabila pemansuhan sebuah akta induk diumumkan di pentas parti sebelum kerangka penggantinya diperincikan, rakyat berhak bertanya, adakah ini reformasi yang dirancang atau keputusan politik yang tergesa-gesa?" katanya lagi.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment