- “Apabila buat ceramah di hadapan komuniti Cina, mereka berani bercakap macam-macam. Tapi dengan orang Melayu, adakah mereka berani menjelaskan dengan cara yang sama?” – Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.
- Ong berkata, antara jalan penyelesaian yang boleh dilakukan DAP ialah meningkatkan interaksi dengan komuniti Melayu melalui platform yang membolehkan pemimpin parti menerangkan pendirian mereka secara terus.
- Beliau berkata parti itu tidak seharusnya mengelak daripada membangkitkan isu yang menjadi kepentingan komuniti Cina semata-mata untuk mengelakkan serangan.
KUALA LUMPUR – DAP perlu lebih banyak berinteraksi dengan komuniti Melayu dan berani menjelaskan pendirian serta dasar parti secara terbuka kepada masyarakat berkenaan, kata bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming.
Beliau mempersoalkan sama ada pemimpin DAP berani menyampaikan perkara yang sama kepada masyarakat Melayu seperti yang mereka lakukan ketika berhadapan komuniti Cina.
“Apabila buat ceramah di hadapan komuniti Cina, mereka berani bercakap macam-macam. Tapi dengan orang Melayu, adakah mereka berani menjelaskan dengan cara yang sama?” katanya ketika membincangkan masa depan DAP dalam kalangan masyarakat Melayu menerusi sebuah podcast.
Ong berkata, antara jalan penyelesaian yang boleh dilakukan DAP ialah meningkatkan interaksi dengan komuniti Melayu melalui platform yang membolehkan pemimpin parti menerangkan pendirian mereka secara terus.
Dalam membincangkan pendekatan DAP terhadap masyarakat Melayu, Ong berkata parti itu tidak seharusnya mengelak daripada membangkitkan isu yang menjadi kepentingan komuniti Cina semata-mata untuk mengelakkan serangan.
Sebagai contoh, beliau berkata UEC tetap perlu dipertahankan.
“Bagi saya, UEC memang perlu dipertahankan. Mungkin caranya boleh dibuat dengan lebih kurang sensitif terhadap masyarakat Melayu,” katanya.
Ong berkata terdapat dasar lain yang lebih penting untuk diketengahkan, termasuk Akta Pembaharuan Bandar (URA) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau berpendapat Perdana Menteri tidak sepatutnya memberikan tugas itu kepada Nga Kor Ming kerana ia boleh menyebabkan ramai orang Melayu sensitif.
Menurutnya, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, seorang Melayu, boleh diberikan tugas berkenaan untuk memulakan pelaksanaan dari Kuala Lumpur, termasuk mengemukakan pandangan dan mendapatkan maklum balas.
“Masalahnya ialah ‘salesman’ yang salah. Kurang sensitif,” katanya.
Ong turut membincangkan mengapa sentimen masyarakat Melayu begitu kuat menentang DAP walaupun terdapat pemimpin parti yang pada pandangannya boleh diterima masyarakat berkenaan.
Beliau memberi contoh Anthony Loke Siew Fook yang menurutnya sebelum ini boleh diterima dalam imaginasi masyarakat Melayu.
Bagaimanapun, katanya, sentimen menolak DAP kini lebih besar daripada imej individu pemimpin berkenaan.
“Saya rasa sebelum ini. Tapi kali ini saya lihat dia – sentimen tolak DAP jauh lebih besar daripada imej dirinya.
“Apabila angin kencang bertiup, tidak kira (Anthony) Loke Siew Fook atau pemimpin lain, sekali dihempas pasti kalah,” katanya. – The Merdeka Times
Ong berkata perkara itu juga pernah berlaku pada 2008 di Pulau Pinang apabila beberapa ADUN dan Ahli Parlimen DAP yang mempunyai prestasi baik tetap kalah.
Beliau turut memberi contoh rakannya, Lee Hwa Beng, bekas ADUN Subang, yang menurutnya mempunyai prestasi baik, mesra rakyat dan memberikan perkhidmatan cemerlang di Subang Jaya, namun kalah ketika bertanding di peringkat Parlimen kepada Khairy Jamaluddin.
“Bukan dia tidak buat baik, tapi apabila angin bertiup, anda tidak dapat elak,” katanya.
Kepimpinan DAP perlu pikul tanggungjawab
Ditanya sama ada tanggungjawab terhadap “angin” penolakan DAP itu terletak pada pihak yang meniupnya atau DAP sendiri, Ong berkata kepimpinan DAP secara keseluruhan perlu memikul sebahagian tanggungjawab.
“Pada pandangan saya, kepimpinan DAP secara keseluruhan harus memikul tanggungjawab itu sedikit sebanyak,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai kepelbagaian dalam DAP, termasuk contoh Teresa Kok yang meminta rakan-rakan dari Sarawak dan Sabah beragama Kristian menyanyikan lagu Krismas pada sambutan Krismas.
Ong mempersoalkan sama ada tindakan sedemikian akan memberikan lebih banyak undi kepada DAP di Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu juga berkaitan dengan prinsip kepelbagaian.
Beliau berkata jika sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya boleh dilakukan di pejabat, persoalannya ialah mengapa sambutan Krismas tidak boleh dilakukan.
Dasar lebih penting daripada tindakan kecil
Ong berkata usaha mendapatkan undi Melayu tidak seharusnya hanya dilakukan melalui tindakan kecil atau perubahan dari segi imej.
Sebaliknya, katanya, dasar seperti kawasan pilihan raya yang adil dan reformasi perlu dilaksanakan.
“Prinsip dasar seperti kawasan pilihan raya yang adil, reformasi – buat semua itu, maka anda tidak akan kehilangan undi, dan tidak perlu melalui tindakan kecil untuk mendapat kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata peluang untuk mengubah persepsi pengundi Melayu sebenarnya pernah wujud pada 2018.
Ketika itu, katanya, Bersatu sekurang-kurangnya mampu menarik sebahagian undi Melayu untuk menyokong PH, sekali gus memberi masa kepada menteri dan timbalan menteri DAP mengubah pandangan sebahagian penjawat awam dan pengundi Melayu terhadap parti itu.
Ong berkata beberapa pemimpin seperti Loke Siew Fook, Hannah Yeoh dan Steven Sim ketika itu sudah mula menunjukkan perubahan.
Namun, katanya, peluang kedua selepas 2022 turut terlepas.
“Pada masa itu, saya rasa kita telah kehilangan peluang itu – bukan sahaja tiada reformasi, malah beberapa cara dan dasar tertentu digunakan oleh pihak lawan untuk menyerang kita, dengan dakwaan kita mahu rampas kuasa Melayu dan sebagainya,” katanya.
DAP mungkin terus jadi pembangkang di pusat
Dalam podcast sama, Ong berkata terdapat kemungkinan besar DAP terus menjadi pembangkang di peringkat pusat.
Beliau berkata DAP perlu mempunyai ruang untuk bergerak sendiri dan tidak hanya bergantung kepada PKR.
“Saya sanggup bergerak sendiri – bukan sekadar di Pulau Pinang atau Selangor, tapi kita lawan,” katanya.
Menurutnya, jika DAP memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi, parti itu boleh membentuk strategi baharu dengan parti lain termasuk PKR dan Amanah.
Beliau turut menyatakan kemungkinan DAP bekerjasama dengan UMNO dan BN di Pulau Pinang bagi kerusi tertentu.
Kritik pelaksanaan reformasi
Ong turut berkata beliau tidak menerima alasan bahawa PH perlu memberi lebih banyak kesabaran kepada kerajaan Madani kerana PH1.0 sebelum ini dianggap terlalu giat menolak reformasi.
Katanya, Anwar tidak melaksanakan banyak dasar yang pernah diperjuangkan PH ketika menjadi pembangkang, termasuk yang termaktub dalam manifesto.
“Saya dah kata, Anwar tidak melaksanakan banyak dasar yang kita sebagai pembangkang dulu perjuangkan, termasuk yang termaktub dalam manifesto kita. Ia seperti tidak dilaksanakan langsung,” katanya.
Beliau turut menyentuh reformasi SPRM dan berkata perkara itu merupakan asas bagi PH.
Ong berkata jika reformasi mahu dilakukan dengan lebih baik, beliau tidak melihat BN akan menentangnya.
“Perkara-perkara ini patut dibincangkan secara terbuka – buka semua, baru ada perubahan. Jika tidak, selama-lamanya tiada reformasi,” katanya.
Mengulas kedudukannya dalam DAP, Ong berkata beliau masih kekal sebagai ahli biasa kerana tidak melihat keperluan untuk meletakkan jawatan.
Katanya, sekiranya parti mahu memecatnya, beliau bersedia menerima tindakan berkenaan, namun sebab pemecatan itu perlu dinyatakan.
“Jika mereka mahu pecat saya, saya rasa saya rela terima hukuman itu, tapi sebabnya kena nyatakan,” katanya.
Sumber | Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment