NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Alhamdulillah’, Abdullah Zaik harap keputusan mahkamah pulihkan persepsi terhadap Aman Palestin



BANGI, 11 RABIULAWAL — “Alhamdulillah.”

Demikian reaksi Pengerusi Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang dan aset milik pertubuhan berkenaan.

“Saya berharap keputusan yang diterima hari ini dapat mengembalikan persepsi positif masyarakat terhadap Aman Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ustaz Abdullah Zaik berkata, Aman Palestin memilih untuk membersihkan namanya melalui jalan perundangan.

Beliau turut melahirkan rasa terharu kerana harapan untuk meneruskan legasi perjuangan membantu rakyat Palestin dapat diteruskan dengan sokongan yang tidak putus-putus daripada rakyat Malaysia, terutama dalam keadaan sukar ketika ini.

Ustaz Abdullah Zaik pada masa sama mengajak masyarakat melihat semula hasil dan pembangunan yang telah dijayakan Aman Palestin sepanjang 22 tahun lalu sehingga hari ini.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menjalankan tanggungjawab dengan baik, manakala Aman Palestin memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.

“Saya berharap tiada pihak mengambil kesempatan dengan melontarkan persepsi negatif atau memutarbelitkan perkara berkenaan,” katanya.

Ustaz Abdullah Zaik turut merakamkan penghargaan kepada barisan peguam bela yang diketuai Datuk Zamani Ibrahim, Datuk Hisyam Teh Pok Teik dan Datuk M Athimulan atas usaha mereka sepanjang proses perundangan berkenaan.

Beliau turut mengajak rakyat Malaysia untuk terus menyokong serta mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang dalam 12 akaun bank milik Aman Palestin berjumlah RM21 juta, AS$139,650.68 serta jongkong emas seberat satu kilogram yang dibekukan dan disita sebelum ini.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon gagal membuktikan bahawa wang dalam akaun berkenaan dan pembelian jongkong emas terbabit merupakan perlakuan salah di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) atau hasil daripada aktiviti haram.

Mahkamah turut berpandangan bahawa sekiranya benar terdapat penyelewengan dan pelanggaran tugas fidusiari oleh pengarah syarikat ketika wang dikeluarkan untuk pelaburan, liabiliti berkenaan adalah terhadap individu dan tidak sepatutnya melibatkan Aman Palestin sebagai responden.

Selepas keputusan itu, pihak pendakwaan memohon supaya pelaksanaan perintah mahkamah ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan.


Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo