NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Negeri Sembilan: Hanya 4 parti tersenarai dalam agihan kerusi PN



BANGI, 29 MUHARRAM – Hanya empat parti tersenarai dalam agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang diluluskan Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Pembahagian kerusi yang diumumkan hanya membabitkan PAS, Parti Wawasan Negara (Wawasan), Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN hari ini bersetuju meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan membabitkan empat parti anggota gabungan itu sebagai persediaan menghadapi PRN.

Selain itu, katanya Majlis Tertinggi PN bersetuju membenarkan semua calon PN menggunakan lambang rasmi gabungan berkenaan pada PRN Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Samsuri turut menjelaskan bahawa segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal, seperti dirujuk dalam kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, telah dijalankan dengan pengetahuan dan kebenarannya selaku Pengerusi PN.

Menurutnya, semua rundingan itu kemudiannya dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi PN pada mesyuarat yang diadakan hari ini.

“Bagi tujuan PRN Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon PN yang akan diumumkan hari ini adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya, dan Malaysia amnya,” katanya.

Semalam, BERSATU memutuskan untuk bertanding menggunakan simbol parti itu pada PRN Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi PN.

Muhyiddin berkata, keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU selepas mengambil kira perkembangan semasa dalam gabungan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.


Sumber | TV Pertiwi







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo