NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda Pas desak Dr Sathia tarik balik tuduhan, mohon maaf kepada MB Kedah



SHAH ALAM - Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan didesak menarik balik dakwaan yang mengaitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan kenyataan berbaur perkauman dan memohon maaf secara terbuka.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, tuduhan kononnya Sanusi pernah menyebut frasa 'Cina balik China, India balik India' adalah dakwaan yang berat, menghasut dan boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Beliau menegaskan, Sanusi tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa Sathia ketika berucap dalam ceramah di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

"Tuduhan tersebut amat berat, bersifat menghasut dan cukup berbahaya. Ia bukan sekadar serangan politik biasa, tetapi memberikan gambaran palsu bahawa seorang pemimpin Melayu Islam yang sedang mentadbir sebuah kerajaan negeri mahu menghalau rakyat Malaysia berdasarkan kaum.

"Hakikatnya, ucapan Sanusi dalam ceramah di Jempol adalah berbeza daripada apa yang didakwa. Beliau tidak pernah menyebut dan mengarahkan masyarakat Cina 'balik ke China' dan masyarakat India 'balik ke India," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Sanusi dalam satu ceramah telah mengeluarkan satu ucapan yang mencetuskan kontroversi menyebut 'Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand'.

Afnan Hamimi mendakwa, penambahan perkataan 'balik' telah mengubah keseluruhan maksud ucapan asal dan berpotensi membangkitkan kemarahan, ketakutan serta ketegangan antara kaum.

Beliau memberitahu, tindakan memutarbelitkan kenyataan sedemikian boleh mengelirukan rakyat dan mencetuskan permusuhan antara masyarakat berbilang kaum.

Tambahnya, Pemuda Pas akan membuat laporan polis berhubung penyebaran dakwaan berkenaan supaya pihak berkuasa menyiasat sama ada wujud unsur hasutan, penyebaran maklumat palsu atau perbuatan yang boleh mencetuskan kebencian antara kaum.

"Sekiranya dakwaan palsu itu turut dimasukkan dalam mana-mana laporan polis, perkara tersebut juga wajar disiasat sebagai kemungkinan pemberian maklumat palsu kepada pihak berkuasa," katanya.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi mendesak Sathia menarik balik tuduhan berkenaan dan memohon maaf secara terbuka kepada Sanusi serta rakyat Malaysia yang didakwa telah dikelirukan.

Beliau turut menggesa kerajaan Kedah atau Sanusi mempertimbangkan tindakan saman sivil terhadap pihak yang didakwa menyebarkan kenyataan berkenaan.

Menurutnya, Pemuda Pas akan terus memantau mana-mana pemimpin PKR dan DAP yang cuba menggunakan sentimen perkauman untuk mencetuskan kebencian serta merosakkan keharmonian negara.

"Berbeza politik bukan lesen untuk memfitnah. Jangan bakar sentimen perkauman demi kepentingan politik," katanya.


Sumber | Sinar Harian






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo