SEREMBAN – Pas mengambil pendekatan sebagai ‘penjaga gol’ bagi membantu UMNO Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa di Johor, selain menggesa ahli parti itu memberikan sokongan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Menurut beliau, strategi itu diambil bagi memastikan undi orang Melayu tidak berpecah sehingga memberi ruang kepada pihak lain mengambil alih pentadbiran negeri.
“Kita bimbang Johor akan jatuh. Oleh itu, kita buat satu strategi. Kita sebagai pasukan sokongan untuk menampung kekurangan.
“Kita dulu bersama, dekat gawang Johor bersama. Maka strategi yang kita ambil, bila rakyat orang Melayu, orang Perikatan Nasional, orang Melayu pergi kepada BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Mega Biru-kan Seremban, malam tadi.
Hadir sama adalah Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau; Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi.
Abdul Hadi berkata, Pas mengambil pendirian berkenaan kerana tidak mahu perpecahan undi Melayu menyebabkan UMNO kehilangan kuasa di Johor, walaupun parti itu mempunyai kedudukan yang kuat berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.
Katanya, situasi sama turut menjadi pertimbangan Pas dalam menghadapi PRN Negeri Sembilan, dengan parti itu memilih untuk memberi laluan kepada BN dalam usaha memastikan pentadbiran negeri kekal stabil.
“Langkah yang kita nak ambil di Negeri Sembilan, yang terbaik daripada Johor. Apabila Pakatan Harapan mempunyai 17 kerusi dan UMNO 14 kerusi, kita mahu mengekalkan Negeri Sembilan.
“Ini baru kami ambil langkah untuk buat undi kepercayaan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama antara parti Melayu perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar bagi mengelakkan perpecahan politik yang akhirnya boleh menjejaskan kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera.
Abdul Hadi turut menegaskan Islam tidak menghalang kaum lain daripada terlibat dalam politik, namun orang Melayu perlu bersatu bagi memastikan kuasa politik yang ada dapat dipertahankan demi kepentingan semua kaum. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment