- Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Marzuk Shaary, rakyat perlu memahami bagaimana sesuatu kesimpulan dalam laporan itu dibentuk sebelum menerima atau menolak dapatan yang dikemukakan.
- Beliau berkata, sebarang dakwaan penyelewengan perlu disokong dengan bukti yang menunjukkan aliran wang serta pihak yang memperoleh manfaat daripada transaksi berkenaan.
- “Penyiasatan kewangan bukan sekadar menyatakan jumlah kerugian. Ia perlu menunjukkan aliran wang, transaksi, penerima manfaat serta kaitan antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Marzuk Shaary menggesa orang ramai supaya meneliti keseluruhan kandungan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji apabila ia diterbitkan kelak, dan tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan tajuk atau rumusan laporan.
Menurut beliau, rakyat perlu memahami bagaimana sesuatu kesimpulan dalam laporan itu dibentuk sebelum menerima atau menolak dapatan yang dikemukakan.
“Apabila laporan RCI Tabung Haji diterbitkan nanti, jangan hanya baca tajuk dan kesimpulannya sahaja. Lihat juga bagaimana kesimpulan itu dibina,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Marzuk berkata, antara perkara utama yang perlu diteliti ialah sama ada laporan tersebut membezakan antara kehilangan wang dengan kerugian perakaunan, kerana kedua-duanya membawa maksud yang berbeza dalam konteks kewangan.
Beliau menjelaskan rosot nilai aset (impairment), kejatuhan harga pasaran atau perubahan kaedah penilaian boleh menyebabkan nilai aset berkurangan tanpa semestinya membuktikan wang telah hilang atau berlaku penyelewengan.
Selain itu, beliau berkata sebarang dakwaan penyelewengan perlu disokong dengan bukti yang menunjukkan aliran wang serta pihak yang memperoleh manfaat daripada transaksi berkenaan.
“Penyiasatan kewangan bukan sekadar menyatakan jumlah kerugian. Ia perlu menunjukkan aliran wang, transaksi, penerima manfaat serta kaitan antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya.
Dalam masa sama, Marzuk mengingatkan supaya orang ramai membezakan antara dapatan fakta dan dapatan jenayah dalam laporan RCI.
Menurutnya, RCI berperanan menyiasat, menentukan fakta dan mengemukakan syor, manakala penentuan kesalahan jenayah hanya boleh dibuat melalui siasatan agensi penguat kuasa serta proses pembuktian di mahkamah.
Beliau turut berkata sekiranya laporan itu menyentuh perbezaan antara laporan Ketua Audit Negara dan penilaian PricewaterhouseCoopers (PwC), penjelasan mengenai punca perbezaan tersebut juga perlu diberikan.
Katanya, perbezaan itu mungkin berpunca daripada piawaian perakaunan, andaian penilaian atau definisi aset boleh direalisasikan, justeru perbezaan angka semata-mata belum mencukupi untuk membuktikan penipuan atau penyelewengan.
Marzuk turut mempersoalkan sama ada semua keputusan yang berada dalam skop siasatan RCI telah dinilai secara menyeluruh, termasuk penstrukturan semula Tabung Haji, pemindahan aset kepada UJSB, harga pindahan aset serta struktur sukuk sekiranya tempoh siasatan meliputi sehingga tahun 2020.
Beliau juga berpandangan rakyat berhak mengetahui tindakan yang telah diambil kerajaan sejak laporan itu disiapkan, termasuk sama ada ia disusuli dengan siasatan lanjut, penambahbaikan tadbir urus atau rujukan kepada agensi penguat kuasa.
“Jika laporan ini telah berada dalam pengetahuan kerajaan selama beberapa tahun, rakyat wajar mengetahui sama ada dapatan tersebut telah disusuli dengan tindakan dalaman, siasatan lanjut, penambahbaikan tadbir urus atau rujukan kepada agensi penguat kuasa.
“Jika belum ada tindakan, apakah penjelasannya? RCI bukan sekadar menghasilkan laporan, tetapi menjadi asas kepada tindakan dan pembaharuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Marzuk berkata tujuan laporan RCI adalah untuk membantu rakyat memahami apa yang sebenarnya berlaku, bukannya mengukuhkan tanggapan yang telah sedia ada.
“Laporan RCI sepatutnya membantu rakyat memahami apa yang sebenarnya berlaku, bukan hanya bertujuan mengukuhkan tanggapan yang telah sedia ada.
“Semakin besar sesuatu dakwaan, semakin tinggi juga standard bukti yang perlu menyokongnya. Itulah prinsip yang menjadi asas kepada penyiasatan yang adil, telus dan berwibawa,” katanya. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment