JELI – Dewan Pemuda Pas Kawasan Jeli mendesak supaya kerusi Parlimen Jeli diberikan semula kepada calon daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Jeli, Muhamad Faruqi Zahari berkata, desakan tersebut dizahirkan menerusi satu usul yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda Pas Kawasan Jeli Kali Ke-44 di Ayer Lanas di sini pada Jumaat.
"Usul ini dikemukakan susulan kekecewaan terhadap tindakan penyandang kerusi, Zahari Kechik yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan sebelum ini.
“Sehubungan itu, pemuda Pas Jeli mendesak supaya kerusi P030 Parlimen Jeli diberikan kepada calon daripada Pas pada PRU16 kerana wakil rakyat yang telah dipilih telah berpaling tadah,”katanya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda Pas Pusat, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Muhammad Fauzi.
Menurut Muhamad Faruqi, usul itu merupakan manifestasi suara akar umbi khususnya golongan muda yang kecewa dengan tindakan Ahli Parlimen Jeli itu yang didakwa mengkhianati mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Rata-rata anak muda yang ditemui menerusi pelbagai program di peringkat cawangan, Dewan Undangan Negeri dan Parlimen menzahirkan rasa tidak puas hati serta kecewa dengan tindakan Zahari yang memenangi kerusi menggunakan logo Pas namun kemudiannya menyokong kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional.
“Anak-anak muda Pas yang bekerja siang dan malam, berkorban tenaga dan masa sepanjang tempoh kempen sehingga berjaya membantu kemenangan calon Perikatan Nasional di Parlimen Jeli dengan majoriti 12,464 undi,” ujarnya.
Muhamad Faruqi berkata, usul berkenaan wajar dipertimbangkan pucuk pimpinan parti bagi memulihkan semangat jentera yang selama ini bertungkus-lumus mempertahankan perjuangan Pas dan Perikatan Nasional (PN) kawasan berkenaan.
Katanya, keputusan menyerahkan kerusi Parlimen Jeli kepada calon Pas pada PRU16 juga dilihat sebagai mesej jelas bahawa parti sentiasa mendengar suara akar umbi serta tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pengkhianatan mandat rakyat.
“Rakyat hari ini semakin matang dan bijak membuat penilaian. Mereka akan memilih parti yang konsisten serta teguh mempertahankan prinsip perjuangan,” ujarnya.
Untuk rekod, Zahari yang bertanding atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili PN memenangi kerusi Parlimen Jeli pada PRU15 sebelum mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada 19 Disember 2022.
Bagaimanapun, pada 8 November 2023, beliau mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Tindakan itu menjadikan beliau antara beberapa Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan walaupun dipilih atas tiket pembangkang, sekali gus mencetuskan polemik politik berhubung isu mandat rakyat dan Akta Anti Lompat Parti.
Susulan perkembangan tersebut, penyandang kerusi Parlimen Jeli itu terus berdepan kritikan daripada penyokong PN dan Pas yang menganggap tindakannya bercanggah dengan mandat diberikan pengundi pada PRU15.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment