NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin ‘lorat’, Bersatu tidak boleh pakai logo PN tanpa watikah pengerusi PN



KOTA BHARU – Pas menyifatkan kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penggunaan lambang Perikatan Nasional (PN) sebagai mengelirukan kerana kuasa mengeluarkan watikah penggunaan logo gabungan itu bukan terletak di tangan Presiden parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sebarang keputusan berkaitan penggunaan lambang PN perlu melalui saluran serta peraturan yang ditetapkan dalam gabungan tersebut.

Menurut beliau, watikah penggunaan logo PN hanya boleh ditandatangani oleh Pengerusi PN dan bukannya Presiden mana-mana parti komponen.

"Saya rasa ada kesilapan beliau. Kuasa ataupun watikah itu ditandatangani oleh Pengerusi PN, bukan Presiden parti.

"Muhyiddin mungkin ingat beliau boleh guna dengan mudah. Tidak begitu kerana ada peraturannya," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.

Sebelum itu beliau hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke 54 yang dirasmikan oleh dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Ujar Mohd Amar, pengumuman mengenai penggunaan tiket PN tidak sepatutnya dibuat secara terburu-buru tanpa dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat gabungan berkenaan.

"Kalau beliau kata nak bertanding atas tiket PN, itu cerita lain. Tetapi semua kena bincang secara terperinci dalam mesyuarat PN.

"Bagi saya kenyataan beliau itu lorat (gopoh) sikit," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan perubahan pendirian Muhyiddin berhubung penyertaan parti-parti lain ke dalam PN.

Menurutnya, ketika Muhyiddin menerajui PN sebelum ini, Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Putra tidak dibenarkan menyertai gabungan tersebut.

Bagaimanapun kata beliau, selepas hubungan Pas dan Bersatu berakhir, Muhyiddin dilihat membuka ruang kepada parti-parti dalam Ikatan Perpaduan Rakyat (IPR) yang sebelum ini pernah memohon untuk menyertai PN.

"Saya hairan dengan kenyataan beliau (Muhyiddin) sebab ketika dalam PN dulu beliau tolak Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Putra untuk masuk.

"Tiba-tiba selepas berlaku situasi ini dan kita hentikan hubungan, beliau buka pula kepada parti-parti dalam IPR yang sebelum ini antara yang minta masuk PN.

"Jadi nampak macam ada double standard dalam pendiriannya. Semua ini lebih kepada isu teknikal yang perlu dibincangkan," katanya.

Mohd Amar memberitahu, Pas akan meneliti perkembangan semasa sebelum membuat sebarang keputusan lanjut mengenai hala tuju politik parti itu serta pendirian terhadap mana-mana parti yang berhasrat menyertai PN.


Sumber | Sinar Harian










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo