NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersih, Ideas bidas sekat akses peruntukan kepada ahli Parlimen



SHAH ALAM - Tindakan menyekat akses kepada peruntukan pembangunan bagi sesetengah ahli Parlimen menunjukkan medan persaingan politik yang saksama masih belum tercapai sepenuhnya.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) dalam kenyataan bersama berkata, akses kepada peruntukan pembangunan tidak wajar ditentukan oleh perbezaan pendirian politik atau hubungan dengan pihak kerajaan.

"Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dilaporkan tidak lagi dapat mengakses laman sesawang Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) bagi memohon peruntukan pembangunan untuk kawasan masing-masing.

"Akses kepada peruntukan pembangunan tidak wajar ditentukan oleh perbezaan pendirian politik atau hubungan dengan pihak kerajaan. Peruntukan awam pada asasnya bertujuan untuk manfaat rakyat dan pembangunan kawasan, bukan sebagai instrumen ganjaran atau hukuman politik," katanya pada Khamis.

Pada masa sama, kedua-dua organisasi itu turut menyentuh kenyataan DAP Johor berhubung pertimbangan pelantikan ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai sekiranya beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Negeri Johor akan datang.

Menurutnya, pelantikan ke GLC dan badan berkanun perlu berasaskan merit, kelayakan dan keperluan institusi, bukan pertimbangan politik kepartian.

"Proses pelantikan yang tidak telus atau dilihat dipengaruhi politik boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap integriti institusi.

"Sehingga Oktober 2025, Ideas merekodkan 238 pelantikan politik ke lembaga GLC dan badan berkanun persekutuan di bawah Kerajaan Madani dan 78 peratus jawatan pengerusi badan berkanun diisi individu berkait politik, selain ketiadaan kerangka perundangan yang menyeluruh dan piawaian kelayakan yang jelas.

"Ini meningkatkan risiko pertimbangan politik mengatasi merit, kepakaran dan kepentingan awam dalam pelantikan institusi penting," katanya lagi.

Bersih dan Ideas menegaskan bahawa jawatan GLC dan badan berkanun tidak wajar dijadikan pertaruhan atau hadiah sagu hati kepada mana-mana ahli politik yang kalah dalam pilihan raya.

"Amalan menjadikan jawatan tersebut sebagai ganjaran atau laluan politik adalah bertentangan dengan semangat reformasi tadbir urus serta mengukuhkan budaya penaungan politik," ujarnya.

Menjelang PRU16, Bersih dan Ideas menekankan bahawa semua parti politik perlu menunjukkan komitmen terhadap prinsip demokrasi yang matang dan inklusif.

"Dalam sebuah demokrasi yang matang, perbezaan prinsip dan fahaman politik tidak boleh dijadikan asas untuk mendiskriminasi mana-mana wakil rakyat atau menafikan hak rakyat yang diwakili mereka untuk mendapat manfaat daripada peruntukan awam.

"GLC atau badan berkanun juga tidak wajar dijadikan taruhan atau habuan kepada mana-mana ahli politik hanya kerana perubahan strategi atau menjaga kepentingan politik.

"Kepercayaan dan harapan rakyat terhadap institusi negara dan sistem politik yang kukuh dan matang tidak boleh diambil mudah," katanya.



Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo