NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO N. Sembilan gesa sidang khas DUN diadakan segera



KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan menggesa Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri diadakan segera bagi menangani krisis politik yang berlaku di negeri itu ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata, pihaknya bimbang wujud ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri sekiranya sidang DUN ditangguhkan dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan.

Menurut Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, sekiranya persidangan DUN tidak diadakan dalam masa terdekat, ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri, selain memberi kesan kepada kelancaran urusan dasar kerajaan.

“Jika mereka bertahan sehingga enam bulan (menangguhkan sidang DUN), kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul, sekali gus dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Malah, kesan daripada itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu. Oleh itu, sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya seperti dipetik laporan Berita Harian hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Yang Dipertua DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman mengambil tindakan segera dengan memanggil sidang DUN khas bagi membincangkan serta memutuskan langkah penyelesaian terhadap krisis politik yang sedang berlaku.

“Langkah itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan bagi mengembalikan keadaan kepada landasan biasa dan memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih stabil.

“Pada pandangan saya, sidang khas dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan kedua,” katanya.

Terdahulu, 14 ADUN UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atas alasan kegagalan menyelesaikan kemelut membabitkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Seri Menanti.

Situasi itu sekali gus meletakkan kerajaan negeri ketika ini dalam situasi tidak pasti, apatah lagi lima ADUN Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap tindakan ADUN BN tersebut.

Istiadat pembukaan persidangan Negeri Sembilan Ke-15 yang dirasmikan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Khamis lalu, sepatutnya bersambung pada Isnin lalu hingga hari ini, namun ditangguh hingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – MalaysiaGazette













........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo