KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor digesa tidak terus berdiam diri dan segera memberikan maklum balas rasmi berhubung isu cadangan pembangunan tanah seluas 169 ekar yang terletak bersebelahan Rizab Hutan Ayer Hitam.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya kecewa terhadap kegagalan kerajaan negeri menjawab surat-surat rasmi berhubung isu itu yang dihantar pada 16 Disember 2025; 6 Januari 2026 dan 16 Mac 2026.
“Berdiam diri dan tidak mengesahkan sama ada tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi tidak akan meredakan kemarahan para pengundi saya.
“Ia juga tidak akan membantu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti Kerajaan Negeri Selangor.
“Pembangunan tanah ini akan memberi kesan negatif kepada kawasan Parlimen saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seramai 7,541 pengundi mula marah dan menuntut jawapan serta penyelesaian berhubung isu itu.
“Semakan melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan tanah tersebut dijual pada harga RM13.80 bagi setiap kaki persegi.
“Harga itu sangat murah,” katanya lagi.
Wong Chen turut mendesak kerajaan negeri mengesahkan harga tersebut dan mencadangkan agar tanah berkenaan dibeli semula daripada pemaju dengan anggaran kos sekitar RM193 juta.
“Jika Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai kemampuan untuk membeli semula keseluruhan tanah tersebut, maka Kerajaan Negeri Selangor perlu mempertimbangkan untuk membeli semula sebahagian daripada tanah tersebut, khususnya kawasan yang mempunyai cerun yang sangat curam,” tambahnya.
Dalam pada itu, Wong Chen berkata, bagi memastikan isu tersebut mendapat jawapan rasmi, Wei Kiat juga akan mengemukakan soalan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 20 April ini.
“Soalan tersebut menuntut penjelasan mengenai kronologi sejarah tanah, harga transaksi, kos pemerolehan semula, serta proses dinyahwarta dan pemindahan tanah daripada Permodalan Negeri Selangor Berhad kepada Perano Properties Development Sdn Bhd.
“Saya juga mahu mengingatkan komitmen kerajaan negeri terhadap Enakmen Kebebasan Maklumat sejak 2011 serta kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai semua surat rasmi daripada Ahli Parlimen hendaklah dijawab oleh pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment