NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Saya terbuka dengan semua pilihan termasuk sertai Pas' - Wan Saiful



SHAH ALAM – Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menegaskan beliau terbuka dengan semua pilihan termasuk kemungkinan menyertai Pas jika ia keputusan yang disepakati kumpulan pengikut bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Wan Saiful yang sebelum ini pernah bergelar ahli Pas seumur hidup berkata, beliau yakin Hamzah akan membincangkan mengenai pilihan parti yang mahu disertai dengannya sendiri dan bekas pemimpin Bersatu yang lain.

“Hamzah pemain pasukan atau team player. Saya yakin apabila beliau buat keputusan, beliau akan bincangkan dengan semua kami yang terlibat dan kami akan bersama-sama buat keputusan.

“Saya rasa banyak parti yang menjemput Hamzah (untuk menyertai parti mereka) kerana keikhlasan dan kebolehannya memimpin memang boleh disaksikan oleh semua.

“Maka saya tak terkejut kalau Hamzah diterima oleh Pas. Saya pula terbuka dengan semua pilihan (yang akan dimuktamadkan),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Penyelaras Reset Wilayah Persekutuan, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, Pas wajar mempertimbangkan menerima Hamzah sebagai sebahagian daripada kekuatan dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Menurutnya, cadangan itu berasaskan beberapa pertimbangan utama terutamanya mengambil kira penyertaan tokoh berpengaruh seperti Hamzah berpotensi memperkukuh blok pembangkang dengan menarik sokongan lebih luas merentasi kaum dan latar belakang masyarakat.

Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor pula dilapor menyatakan kesediaan untuk mengikut langkah Hamzah sekiranya pemimpin itu membuat keputusan menyertai Pas.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berpandangan, ‘wajah’ sebenar Bersatu juga akan terserlah seandainya Hamzah benar-benar menganggotai Pas.

“Kita akan dapat lihat nanti sama ada Bersatu adalah parti yang memperjuangkan perpaduan ummah atau tidak. Jika mereka menghalang (kemasukan Hamzah) maksudnya Bersatu hanya sudah jadi ‘kuda’ Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk merebut kuasa.

“Kita sedia maklum Muhyidin masih gila talak dengan jawatan Perdana Menteri dan Azmin perlukan Muhyidin untuk talian hayat politiknya.

"Sikap yang ditunjukkan oleh Bersatu akan menentukan persepsi sama ada Bersatu parti perjuangan atau hanya parti yang nak menjulang Muhyiddin saja,” dakwa beliau.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengulangi pendirian parti itu yang tidak peduli mengenai hala tuju Hamzah dan kumpulannya kerana semuanya terpulang kepada mereka.

“Seperti yang dinyatakan oleh Presiden Bersatu di Terengganu semalam, kita tidak ambil peduli pun ke mana Hamzah dan kumpulannya nak pergi.

"Hamzah dan pengikutnya bukan lagi ahli Bersatu. Terpulang kepada mereka mereka hendak ke mana,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pihak yang hendak ‘menumpangkan rumah’ kepada Hamzah dan kumpulannya supaya berhati-hati kerana mendakwa mereka tidak peduli akan perlembagaan dan disiplin parti.

Secara peribadi, Tun Faisal berkata, Hamzah sudah tidak ada nilai di mata pemimpin parti lain selepas beliau bukan lagi Timbalan Presiden Bersatu.


Sumber | Sinar Harian 











........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo