JOHOR BAHRU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan merancang untuk bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan hujung tahun ini.
Menurut sumber, perbincangan mengenai perkara tersebut sudah dilakukan bersama-sama kepimpinan tertinggi parti tersebut di Kuala Lumpur semalam.
“Setakat ini belum ada keputusan rasmi dan perkara ini hanya peringkat cadangan untuk bertanding solo dalam PRN Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 5 Mac lalu, Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyatakan pihaknya mengenal pasti 28 kerusi yang berpotensi ditandingi pada PRN Johor.
Menurut Ahli Parlimen Sekijang itu, kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan berpotensi untuk ditandingi dan keputusan tersebut dibincang dan dipersetujui Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan selepas itu pula mengumumkan parti itu sudah mengenal pasti 20 kerusi DUN yang mahu ditandingi.
Aminolhuda yang juga Pengerusi PH Johor menyatakan pembahagian kerusi hanya membabitkan tiga parti tersebut dan tidak melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Sementara Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dalam reaksinya mengenai jumlah kerusi disasarkan pihaknya berkata, DAP juga sudah mengenal pasti kerusi-kerusi yang mahu ditandingi termasuk kerusi ditandingi sebelum ini dalam PRN Johor yang lalu.
Bagaimanapun Timbalan Pengerusi PH Johor itu tidak memberitahu jumlah kerusi yang DAP akan tandingi nanti dan mengakui ada berlaku perebutan kerusi dalam perbincangan antara parti komponen PH namun perkara itu bukan satu yang membimbangkan.
“Mestilah ada perebutan kerusi, mana boleh tak ada… Itu tak mengapa, kita akan lalui prosedur yang digariskan bagi mencari titik persefahaman,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kulai itu.
Terdapat 56 kerusi DUN di Johor dan dalam PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (PH) 12, Perikatan Nasional (PN) tiga dan (MUDA) satu.
PKR bertanding di 20 kerusi DUN dan daripada jumlah tersebut hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu di DUN Bukit Batu menerusi calonnya, Chiong Sen Sern. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment