Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tempoh untuk membuat keputusan tersebut masih panjang memandangkan sidang Parlimen hanya akan berlangsung pada Jun depan.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah menyelesaikan urusan dalaman PN terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan secara rasmi.
"Kalau soal Ketua Pembangkang, ia akan dibincangkan bersama semua pihak kerana melibatkan semua Ahli Parlimen pembangkang.
"PN bukan hanya Pas. Walaupun Pas merupakan parti terbesar dalam gabungan ini, kita tetap mengambil kira pandangan parti-parti lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah duha pada Program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Negeri di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Politik Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi menjelaskan, perbincangan berhubung jawatan tersebut perlu dilakukan dengan teliti dan mungkin mengambil sedikit masa bagi memastikan semua aspek diambil kira.
Bagaimanapun, beliau menjangkakan keputusan berhubung perkara itu dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum sidang Parlimen akan datang bermula.
"Kita akan ambil kira semua pandangan parti politik termasuk pandangan Ahli Parlimen pembangkang sebelum membuat keputusan," ujarnya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan berkata, gabungan itu akan mengumumkan Ketua Pembangkang baharu daripada Pas sebelum akhir Mac selepas beberapa proses dalaman parti selesai dilaksanakan.
Katanya, keputusan mengenai individu yang akan memegang jawatan itu masih dalam perbincangan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Sehingga kini, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan masih kekal menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang sehingga satu keputusan baharu dibuat oleh pucuk pimpinan PN.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment