SHAH ALAM – Segera kembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai sepenuhnya bagi mengelakkan destinasi pelancongan itu terus malap, demikian gesaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor.
Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu mempercepatkan proses itu selaras dengan titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada Istiadat Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah supaya Kerajaan Persekutuan mengembalikan status Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.
“Sepatutnya status bebas cukai sepenuhnya bagi Langkawi perlu dilaksanakan ‘kelmarin’ dan bukannya esok bagi memastikan permata pelancongan negara itu tidak terus malap.
“Kerajaan Persekutuan seharusnya tidak memfokuskan kepada kutipan cukai semata-mata sehingga menjejaskan kehadiran pelancong,” katanya kepada media selepas hadir ke Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Anak Kedah di Perantauan 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan mengetatkan peraturan cukai sebagai langkah yang merugikan.
Jelas beliau, Langkawi memberikan pulangan ekonomi yang cukup besar kepada pendapatan negara dengan sumbangan mencecah RM4 hingga RM7 bilion setahun menerusi cukai langsung dan tidak langsung hasil perbelanjaan pelancong.
Tambahnya, jika daya tarikan pulau itu hilang disebabkan pengurangan barangan bebas cukai, Kerajaan Persekutuan bakal berdepan kerugian yang jauh lebih besar.
“Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Rugi, bakar sekali dengan rumah.
“Jika tarikan bebas cukai dikembalikan dan ditambah baik, sasaran untuk menarik sehingga empat juta pelancong pada tahun 2026 mampu dicapai,” katanya yang merujuk kepada tindakan Kastam yang menarik balik beberapa item bebas cukai atas alasan kebimbangan aktiviti penyeludupan.
Ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan Langkawi sebagai malap, Muhammad Sanusi mengakuinya kerana pulau itu sudah semakin hilang keistimewaannya kerana bukan lagi pulau bebas cukai sepenuhnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, matlamat utama ketika ini adalah untuk mengembalikan status Langkawi mengikut cadangan asal ketika ia mula diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai pada tahun 1987.
Ini termasuk mengembalikan semula item-item yang ditarik balik status bebas cukai antaranya kereta mewah, susulan kebimbangan Jabatan Kastam berhubung isu penyeludupan.
Selain isu cukai, Muhammad Sanusi juga berkata ada membangkitkan masalah pengangkutan feri Langkawi kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini.
Beliau memohon agar subsidi minyak diberikan kepada pengusaha feri di Langkawi kerana kos operasinya adalah paling mahal berbanding pulau-pulau lain seperti Pangkor dan Tioman. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment